Dua beradik hilang di laut: Keluarga setia nanti kepulangan
YAN - Keluarga dua beradik yang dikhuatiri hilang selepas ke laut di kawasan Tuas Selatan tetap setia menunggu perkembangan terkini sambil menaruh harapan mangsa berada dalam keadaan selamat.
Ng Shwu Yi, 41, berkata, mereka sekeluarga tetap positif bahawa abangnya, Ng Goh Xian, 43, dan adiknya, Ng Goh Tong, 34, ditemui segera.
Menurut Shwu Yi, kebiasaannya mereka akan menghubungi dia untuk memaklumkan kelewatan balik tetapi mereka tidak dapat dihubungi pada hari kejadian.
"Saya tidak sedap hati apabila mereka berdua gagal dihubungi walaupun sudah lewat malam selepas ke laut pada Jumaat lepas," katanya ketika ditemui di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Sala, di sini.
Katanya, mereka kemudiannya membuat laporan di balai polis berdekatan kerana bimbang atas keselamatan dua beradik itu.
"Sudah enam hari abang dan adik hilang tanpa khabar berita tetapi kami tetap tidak putus harapan," katanya.
Katanya, dia dan adik iparnya, Lim Ghik Leng, 33, tetap setia menanti di kawasan pelantar untuk mendapatkan perkembangan terkini.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua beradik hilang di laut: Operasi SAR disambung hari ini
Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari keempat diteruskan bermula jam 7 pagi tadi.
Bagaimanapun katanya, mangsa masih belum ditemui setakat ini dalam operasi melibatkan pelbagai aset termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Katanya, operasi turut dibantu Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Pasukan Polis Marin (PPM) dan nelayan tempatan.
Beliau berkata, pencarian dibahagikan kepada empat sektor dengan keluasan kira-kira 180 batu nauktika persegi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!