Pembonceng maut motosikal terbabas
ISKANDAR PUTERI - Seorang wanita maut selepas motosikal yang dibonceng bersama suami terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di KM11 Lebuhraya Link Kedua Arah Selatan di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.05 pagi itu, mangsa berusia 40 tahun maut parah di bahagian kepala sementara suaminya yang berusia 41 tahun mengalami patah kaki kiri.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa dari arah Johor Bahru menuju ke Singapura untuk bekerja.
Katanya, ketika kejadian, hujan lebat dengan keadaan jalan bertar yang basah.
“Siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan tercampak melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata, kemalangan turut mengakibatkan seorang lelaki berusia 29 tahun mengalami kecederaan kerana kereta yang dipandunya juga terbabas selepas mengelak motosikal pasangan berkenaan.
“Kereta lelaki itu dari arah belakang dan cuba mengelak melanggar kedua-dua mangsa yang rebah a di atas jalan raya Bagaimanapun kereta itu terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan di sebelah kanan jalan,” katanya.
Katanya, pemandu kereta bersama suami wanita berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan sementara mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!