Anak mohon bantuan bawa pulang ayah dari Jeddah

Abd Aziz yang kini dirawat di Hospital King Abdullah Jeddah ditemani isterinya. - Foto: Ihsan Mohd Faizal
Abd Aziz yang kini dirawat di Hospital King Abdullah Jeddah ditemani isterinya. - Foto: Ihsan Mohd Faizal
A
A
A

SEREMBAN - Keluarga pesara tentera, Abd Aziz Yunus, 63, mengharapkan bantuan orang ramai bagi membiayai kos membawa pulang warga emas berkenaan dari Hospital King Abdullah, Jeddah berjumlah RM150, 000.

Warga emas yang berasal dari Felda Raja Alias 1, Jempol itu telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan kerana masalah komplikasi jantung dan buah pinggang ketika sedang menunaikan umrah.

Anak sulungnya, Mohd Faizal Abd Aziz, 35, berkata, bapa dengan ibunya ke Makkah menunaikan umrah pada 8 November namun pada hari terakhir di sana iaitu pada 18 November dia tiba-tiba rebah ketika sedang menunggu penerbangan.

"Ayah tak dapat pulang dan terpaksa ditahan di wad dan kini terpaksa bergantung dengan alat bantuan pernafasan.

"Sebelum pergi umrah ayah sihat sahaja dan hanya ada penyakit kencing manis tapi terkawal. Tapi selepas seminggu di sana, ayah mula tak sihat dan demam," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ketika ini ibu dan dua adiknya serta adik ipar berada di Jeddah untuk menemani ayahnya.

Katanya, keluarga berusaha untuk membawa ayahnya pulang tetapi doktor hanya benarkan pulang dengan menaiki penerbangan khas dengan kos RM150,000.

"Kami dah cuba berusaha minta bantuan daripada pelbagai pihak seperti Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia sebab ayah bekas tentera, Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di sana.

Artikel Berkaitan:

"Mereka kata boleh bantu urusan bawa pulang tapi kos perlu tanggung sendiri. Keluarga dah buntu sebab kos itu terlalu besar, kami memang tak mampu dan sangat berharap ayah dapat dibawa balik ke sini untuk teruskan rawatan," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh hubungi Mohd Faizal di talian 019-5965649.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!