Bekas Adun Gunung Semanggol meninggal dunia
SAIFULLAH AHMAD
IPOH - Bekas Adun Gunung Semanggol, Mohd Zawawi Abu Hassan meninggal dunia pagi tadi.
Adik Allahyarham, Mohd Shukri Abu Hassan berkata, abangnya dimasukkan ke Hospital Taiping petang semalam selepas mengalami sawan.
Katanya, bagaimanapun kira-kira jam 6 pagi pihak hospital mengesahkan abangnya meninggal dunia.
"Sebelum itu memang dia sihat dan boleh bersembang tapi semalam tiba-tiba dia kena sawan dan kami terus hantar ke hospital.
"Masa mula-mula tekanan darah tinggi tapi malam dan pagi tadi beransur baik. Lepas azan Subuh pagi tadi dalam jam 6 dia dah tak ada," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Mohd Shukri berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham dan mendoaka agar ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.
Menurutnya, jenazah Mohd Zawawi akan dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Tebuk Panchor, Semanggol.
Beliau berkata, Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.
Pada 13 Februari tahun lalu, Mohd Zawawi dikejarkan ke hospital selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas terjatuh di bilik air di rumahnya di Kampung Tebuk Panchor.
Kemudian, Allahyarham menjalani pembedahan pada 15 Februari bagi mengeluarkan darah beku di kepala sebelum dibenar keluar daripada hospital pada Mac 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!