MBJB sasar kutipan hasil RM429 juta
JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menyasarkan jumlah kutipan hasil sebanyak RM429.52 juta mampu pada tahun ini.
Datuk Bandar MBJB, Datuk Amran A Rahman berkata, kutipan hasil itu adalah terdiri daripada cukai sebanyak RM272.45 juta, hasil bukan cukai (RM121.92 juta) dan terimaan bukan hasil (RM35.14 juta).
Manakala katanya, bagi jumlah perbelanjaan pula dianggarkan sebanyak RM428.79 juta akan digunakan dalam tempoh yang sama.
"Jumlah perbelanjaan terdiri daripada perbelanjaan pembangunan sebanyak RM172.1 juta, perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan (RM170.95 juta), pembayaran emolumen (RM70.48 juta) dan pemberian serta bayaran tetap (RM8.16 juta).
"Selain itu, perbelanjaan harta modal sebanyak RM2.78 juta dan lain-lain perbelanjaan adalah sebanyak RM4.29 juta," katanya berucap pada Mesyuarat Penuh MBJB di Dewan Inai Merah di sini, semalam.
Amran berkata, meskipun dengan jumlah sasaran yang besar itu, pihaknya akan sentiasa melaksanakan langkah berjimat cermat bagi membantu mengukuhkan kewangan yang ada.
Katanya, pihaknya juga akan memastikan peruntukan dapat digunakan dengan efisien selain mampu memberi kesan positif jangka panjang untuk manfaat warga bandar raya ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, MBJB juga akan melaksanakan inisiatif pintar bagi mengatasi masalah parkir di bandar raya ini.
"Kita sudah mempunyai satu pelan yang mana bertujuan untuk mengurangkan masalah trafik dan kesesakan lalu lintas. Ia juga boleh membantu pengguna mengenal pasti tempat letak kereta yang masih tersedia dan membuat pemantauan ke atas keperluan penambah petak parkir dari semasa ke semasa.
"Selain itu, pelan ini juga bertujuan untuk mengelakkan pengguna jalan raya daripada meletak kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan," katanya.
Jelasnya, pelaksanaan pelan itu juga akan melibatkan kerjasama pintar dengan pemilik hotel, pejabat dan pusat beli-belah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!