Keluarga diraja Qatar ditahan buru burung secara haram
ISLAMABAD - Polis di Pakistan menahan tujuh rakyat Qatar kerana memburu burung berharga secara haram di daerah Nushki dekat wilayah Balochistan.
Penahanan itu termasuk anggota keluarga diraja al-Thani.
"Orang asing yang ditahan tidak mempunyai lesen atau Sijil Sokongan Luar Negara," menurut Timbalan Pesuruhjaya Nushki, Abdur Razzak Sasoli.
Minggu lalu, akhbar Pakistan Today melaporkan 12 individu termasuk empat rakyat Qatar ditahan di Balochistan atas kesalahan sama.
Sejak beberapa dekad lalu, keluarga diraja dari Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi akan ke Pakistan semasa musim memburu bagi mendapatkan houbara bustard, spesies burung dengan saiz seperti seekor ayam.
Bagaimanapun, Pakistan mengharamkan pemburuan houbara bustard sehingga tahun 2016 apabila Mahkamah Agung menarik balik larangan berburu selepas kerajaan berpendapat ia mampu menjejaskan hubungan dengan negara Teluk. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!