'Saya terkilan tak dapat selamatkan mereka'
PARIT BUNTAR - "Masih terngiang suara minta tolong, saya terkilan tak dapat selamatkan mereka," kata Nazri Musa, 24, cucu saudara kepada dua beradik yang terkorban dalam kebakaran sebuah rumah di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, Aisah Din, 78, dan Ida Din, 56, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) ditemukan meninggal dunia dengan beberapa kesan lecur oleh anggota bomba yang menjalankan kerja menyelamat pada jam 2.15 pagi.
Nazri berkata, dia yang tinggal berhampiran bersama penduduk kampung cuba membantu menyelamatkan mangsa, namun tidak berjaya.
"Saya dengar jeritan minta tolong tetapi gagal menemui arah suara kerana asap terlalu tebal, api pula sudah marak.
"Saya cuba pecahkan pintu utama namun jeriji besi berkunci, kemudian saya berlari ke bahagian dapur pula dan memanjat bahagian atas rumah tetapi masih gagal mengesan kedudukan mangsa," katanya.
Menurutnya, dia terpaksa berlari menyelamatkan diri apabila keadaan api semakin marak.
"Ketika itu suara minta tolong pun sayup-sayup hilang. Saya dah berusaha tetapi apakan daya tak berupaya nak selamatkan mereka.
"10 tahun lepas rumah saya di sini pernah terbakar, tak sangka kejadian sama berlaku lagi. Kali ini sampai meragut nyawa dua nenek saudara saya," katanya.
Kejadian dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa nyenyak tidur.
Aisah yang sudah uzur hanya mampu berjalan menggunakan tongkat, manakala adiknya mengalami OKU fizikal akibat masalah ketumbuhan di bahagian kepala.
Kedua-duanya tinggal berdua di rumah berkenaan sejak lebih 20 tahun lalu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, kedua-dua mangsa ditemui di pintu utama dan ruang tamu dengan kesan pendarahan dan lecur di beberapa anggota badan antara 70 ke 80 peratus.
"Berdasarkan keadaan mayat mangsa, kemungkinan mereka cuba menyelamatkan diri namun tidak menjumpai kunci pintu rumah.
"Sewaktu ketibaan anggota pun, keadaan rumah sudah terbakar 80 peratus. Faktor angin kuat menyebabkan api marak dengan cepat," katanya.
Jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan punca kejadian termasuk dengan bantuan Unit Anjing Pengesanan K9.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat," katanya.
Jenazah dua beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Surau Parit Lintang di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua beradik maut rumah terbakar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!