'Selipar, pancing jadi petunjuk'

Mayat Muhammad Aqil Darwisy ditemukan pada jam 10.39 pagi tadi.
Mayat Muhammad Aqil Darwisy ditemukan pada jam 10.39 pagi tadi.
A
A
A

KOTA BHARU - Kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang, semalam ditemukan dalam keadaan terapung pagi tadi di kolam takungan air, Kampung Pasir Kota, Pintu Geng di sini.

Mayat Muhammad Aqil Darwisy Mohamad Noor, 11, yang hilang sejak jam 3 petang semalam dijumpai jam 10.39 pagi tadi oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Lebih menyedihkan, ibu mangsa, Hazilawati Abdul Hamid, 39, memberitahu, pemergian Muhammad Aqil Darwisy itu menyusuli ayahnya yang meninggal dunia enam bulan lalu akibat penyakit darah tinggi.

Mengulas kejadian tersebut, Hazilawati berkata, dia yang sedang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya menerima panggilan jam 8 malam memaklumkan arwah masih belum pulang dan dikhuatiri hilang

"Saya terus pulang dan mencari arwah di kawasan rumah dan di kawasan kolam takungan air tersebut tetapi hanya jumpa selipar dan pancingnya di tepi kolam itu.

"Selepas itu, kami buat keputusan untuk laporkan kepada polis," katanya yang kali terakhir melihat arwah anaknya itu semasa menghantarnya ke rumah ibu mentuanya pagi itu.

Dia memberitahu sempat berpesan supaya Muhammad Aqil Darwisy tidak bermain di kawasan kolam takungan air tersebut memandangkan anak kedua daripada empat beradik itu tidak pandai berenang.

Artikel Berkaitan:

Pasukan penyelamat berusaha menaikkan mayat Muhammad Aqil Darwisy selepas ditemukan di kolam takungan tersebut.
Pasukan penyelamat berusaha menaikkan mayat Muhammad Aqil Darwisy selepas ditemukan di kolam takungan tersebut.

Menurut Hazilawati, beberapa hari sebelum pemergiannya, Muhammad Aqil Darwisy kelihatan muram dan tidak berselera makan walaupun dihidangkan nasi goreng kegemarannya.

Sementara itu, Penguasa Bomba Abu Hassan Mohd Nawi dari Zon Kota Bharu berkata, operasi mencari dan menyelamat Muhammad Aqil Darwisy bermula jam 9 pagi dan pencarian dijalankan berdasarkan lokasi selipar dan joran ditemui di tempat kejadian.

Pihaknya kemudian menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk bedah siasat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!