Lelaki warga Indonesia didakwa bunuh rakan senegara

Ibno dibawa keluar oleh anggota polis selepas pertuduhan dibaca di Mahkamah Ampang hari ini.
Ibno dibawa keluar oleh anggota polis selepas pertuduhan dibaca di Mahkamah Ampang hari ini.
A
A
A

AMPANG - Seorang lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita yang juga rakan senegaranya pada 27 November lalu.

Tertuduh, Ibno Irawan, 34, yang bekerja sebagai buruh didakwa membunuh Yatik Rawi, 45, dengan menjerut leher menggunakan kain.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Ampang pada jam 8 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang memakai baju berwarna kelabu mengaku faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Saidina Ali namun tiada pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Intan Syakieraah Zakaria.

Mahkamah menetapkan 16 Januari ini sebagai sebutan semula kes.

Mengikut fakta kes, mangsa yang bekerja di pusat kecantikan ditemui mati oleh anak lelakinya yang berusia 22 tahun.

Artikel Berkaitan:

Sejurus pulang dari kerja jam 5 petang hari pada yang sama, anak mangsa mendapati pintu tidak berkunci dan setelah memasuki rumah berkenaan, dia dapati ibunya berada dalam keadaan meniarap dan tidak sedarkan diri.

Hasil siasatan polis mendapati dua gelang, dua cincin, enam subang emas dan satu telefon bimbit milik mangsa hilang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!