Roh dikelirukan syaitan antara punca mimpi buruk

MIMPI tidak boleh dihujahkan dalam kehidupan manusia.
MIMPI tidak boleh dihujahkan dalam kehidupan manusia.
A
A
A

"MALAM tadi, aku mimpi patah gigi. Aku risaulah, takut ada petanda buruk nanti. Macam mana ini?"

Begitulah luahan Nadia Othman, 25, kepada rakan sekerjanya, Hanim Isa yang sebaya dengannya. Menjadi kelaziman Nadia untuk berkongsi semua cerita dengan Hanim yang merupakan rakan baiknya sejak dari zaman belajar di institusi pengajian tinggi lagi.

Untuk menenangkan Nadia, Hanim berkata: "Alah, tak ada apa-apa pun mimpi tu. Ia cuma mainan tidur. Lupakan sajalah mimpi engkau itu."

Barangkali situasi berkenaan pernah dialami sebahagian daripada kita. Sama ada baik ataupun buruk sesuatu mimpi, semacam menjadi kebiasaan kita untuk menceritakannya kepada orang lain.

Ketahuilah bahawa Islam sebenarnya mengajar umatnya agar tidak menghebahkan mimpi kepada orang lain.

Sudah tentu ada sebab tertentu kepada larangan tersebut. Kenapa kita tidak boleh menceritakan mimpi kepada orang lain? Apakah mimpi sebenarnya mempunyai 'petanda' tertentu?

Tiga pecahan mimpi

Sinar Islam melontarkan segala persoalan itu kepada pendakwah Ustaz Fauzi Mustafa. Sebelum merungkaikan jawapannya, beliau mengajak kita untuk menyelami definisi mimpi.

Artikel Berkaitan:

USTAZ FAUZI
USTAZ FAUZI

Mimpi adalah perkara yang berlaku ketika tidur dan kita melihat sesuatu di dalamnya, terang agamawan itu.

"Ia sangat berkait rapat dengan roh kerana apabila kita tidur, roh kita akan keluar pergi ke mana-mana. Roh itu akan berbuat sesuatu," jelas beliau ketika diwawancara Sinar Islam.

Dalam Islam, jelas beliau, mimpi ada tiga pecahan iaitu mimpi yang benar daripada ALLAH, mimpi daripada syaitan dan mainan tidur.

"Mimpi yang benar daripada ALLAH adalah mimpi yang baik seperti menunaikan umrah, pergi haji, mimpi solat dan seumpamanya. Adapun, mimpi daripada syaitan itu adalah mimpi yang buruk, contohnya mimpi terjun bangunan dan dikejar anjing gila.

"Sementara itu, mimpi mainan tidur pula disebabkan oleh sesuatu yang kita bawa daripada alam sedar hingga diheret masuk ke alam tidur. Ia seperti kita menonton perlawanan bola sepak, kemudian kita terbawa-bawa perlawanan bola itu ketika tidur," ujarnya.

Kenapa mimpi mainan tidur berlaku? Jawab Ustaz Fauzi, ia boleh berlaku apabila kita tidur tanpa adab-adab tidur seperti tiada wuduk, tidur tidak menghadap kiblat dan tidak mengiring ke kanan, tidak membaca ayat al-Quran yang selalu dilazimi oleh Nabi Muhammad SAW, ayat Kursi dan doa tidur.

"Jadi, syaitan akan mengelirukan roh kita sebab mimpi berlaku kerana roh kita berbuat sesuatu. Ketika tidur, separuh daripada roh kita akan pergi ke suatu tempat dan lakukan suatu perkara.

"Disebabkan tiada adab-adab tidur tadi, roh itu akan dikelirukan oleh syaitan ketika kita tidur. Itu yang kita boleh mimpi yang buruk-buruk seperti patah gigi, terjun bangunan, jatuh basikal dan sebagainya.

"Selain itu, tanda mimpi mainan syaitan adalah mimpi itu buruk. Lazimnya, apabila kita tersedar daripada bermimpi sesuatu yang buruk berlaku dalam hidup kita, kita terkejut. Ia seperti kita mimpi terjatuh bangunan. Sebelum kita 'terhempas', kita terjaga dan terkejut. Ini kerana roh sudah masuk balik dalam badan. Sebab itulah kita macam termengah-mengah kerana roh kita tadi melarikan diri," terangnya lanjut.

Ikuti sunah nabi

Begitupun, Ustaz Fauzi menitipkan pesan agar ikutilah ajaran Nabi Muhammad SAW apabila bermimpi buruk. Pertama, pusingkan kepala dan wajah kita ke kiri, ludah tanpa air liur sebanyak tiga kali.

"Ludah tersebut sekadar buang angin pada mulut kita. Ia ibarat ada satu benda macam nasi yang ada di bibir kita yang hendak dilontarkan keluar.

"Kemudian, berlindunglah dengan ALLAH daripada mainan syaitan tadi dengan menyebut A'uzu billahi minashaitanir rajim. Ketiga, apabila bangun keesokan pagi, maka nabi berpesan agar jangan hebahkan kepada sesiapa," jelas beliau.

BACALAH ayat Kursi, tiga qul dan doa sebelum tidur untuk menjauhkan diri daripada gangguan ketika tidur.
BACALAH ayat Kursi, tiga qul dan doa sebelum tidur untuk menjauhkan diri daripada gangguan ketika tidur.

Baik mimpi baik, mahupun buruk, Ustaz Fauzi mengingatkan kita sekali lagi agar tidak menceritakannya kepada orang lain sepertimana yang dilakukan oleh segelintir masyarakat pada hari ini.

Sebenarnya, mimpi yang kita alami semasa tidur, ia berada di atas 'sayap burung' sama ada baik atau buruk suatu mimpi itu, demikian kata agamawan berkenaan.

"Apabila kita menceritakan (mimpi) kepada orang lain pada keesokan paginya, mimpi itu akan 'jatuh' sayap burung berkenaan. Maka, ia akan menjadi realiti (kenyataan). Sebab itulah jangan cerita pada sesiapa pun apa sahaja pasal mimpi buruk, tidak kiralah sama ada (mimpi) patah gigi, ada orang mati dan sebagainya.

"Sebaiknya ikutilah cara yang Nabi Muhammad SAW anjurkan tadi. Maka, mimpi buruk tadi tidak akan menjadi kenyataan. Jadi, tidak perlulah kita takut dengan mimpi buruk kita tadi," jelas beliau.

Demikian juga apabila kita bermimpi sesuatu yang baik. Ujar Ustaz Fauzi, jika diceritakan kepada sembarangan orang atau secara terbuka di laman sosial seperti Facebook, ia dikhuatiri akan mengundang tafsiran yang buruk dan salah.

"Namun, jika hendak cerita juga, ceritakan kepada orang tertentu seperti agamawan, orang alim, orang yang tidak bercakap sesuatu yang lagha (sia-sia)," ujar beliau sambil menjelaskan perkara itu ada dinyatakan dalam al-Quran menerusi Surah Yusuf, ayat 4-5 berkisarkan kisah Nabi Yusuf yang bermimpi 11 bintang, matahari dan bulan sujud kepadanya, namun baginda ditegah oleh ayahandanya, Nabi Ya'akub daripada menceritakan mimpi tersebut kepada saudara-saudaranya.

Mimpi bertemu Rasulullah SAW

Bagi mengupas tentang ciri-ciri mimpi bertemu Rasulullah SAW, Sinar Islam mendapatkan pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid.

USTAZ WAN AKASHAH
USTAZ WAN AKASHAH

Jelas agamawan itu, ia adalah mimpi yang betul sepertimana yang dinyatakan dalam hadis Nabi Muhammad SAW.

Sabda baginda SAW: "Sesiapa yang bermimpi melihat aku sesungguhnya ia akan melihat aku di waktu jaga atau seolah-olah ia melihat aku semasa jaga kerana syaitan tidak akan dapat menyerupaiku." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ujar Ustaz Wan Akashah, bukan semua orang boleh bermimpikan Rasulullah SAW. Ia merupakan satu anugerah.

"Sekiranya kita bermimpi bertemu Rasulullah SAW, sebaik-baiknya, jangan diceritakan kepada orang lain kerana dikhuatiri akan berlaku fitnah.

"Sedangkan kita tak tahu bagaimana orang yang (mimpi) bertemu Rasulullah SAW, cuma kita tahu apa ciri-ciri baginda. Orang yang bermimpi Rasulullah SAW itu bukan calang-calang orang.

"Jika orang itu tidak menjaga solat dan mendakwa bermimpi Rasulullah, bagaimana kita hendak percaya? Kesimpulannya, memang boleh berlaku mimpi bertemu Rasulullah, tetapi hanya orang yang terpilih sahaja seperti wali-wali ALLAH, orang yang warak, orang yang diketahui peribadinya cukup terbaik, dan bukan sembarangan orang," tegas beliau.

Apapun, ujar beliau, mimpi tidak boleh dijadikan hujah dalam hidup. Kebanyakan mimpi hanyalah mainan tidur dan tidak boleh dipercayai.

"Ambillah wuduk sebelum tidur. Ia adalah sunah Nabi Muhammad SAW, kemudian baca tiga qul iaitu Surah al-Falaq, al-Ikhlas dan al-Nas. Insya-ALLAH kita akan dielakkan daripada mimpi yang bukan-bukan," nasihat beliau.

Mohon perlindungan ALLAH jika mimpi buruk

Masyarakat diingatkan agar jangan suka-suka untuk mentafsirkan mimpi, sama ada mimpi sendiri ataupun orang lain, tegas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

DR ZULKIFLI
DR ZULKIFLI

Jelas agamawan itu, perkara tersebut adalah kerana dikhuatiri mimpi berkenaan disalahtafsirkan dan disalah anggap oleh masyarakat sehingga menjadi fitnah.

"Kadangkala kefahaman membawa kepada mimpi tasyri' ILAHI atau yang perlu dipatuhi selain daripada nas syarak. Dalam hal itu, ulama usul fiqh menjelaskan bahawa mimpi bukan termasuk dalam sumber nas syarak," katanya dipetik daripada artikel 'Irsyad Al-Fatwa Siri ke-233: Mimpi Orang Soleh Sebagai Peringatan daripada ALLAH?' yang disiarkan dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Dalam perihal mimpi, Zulkifli turut berkongsi persoalan berkaitan yang dipernah dilontarkan kepada Imam Malik.

Imam Malik pernah ditanya: "Bolehkah seseorang itu mentafsirkan mimpi secara sembarangan sahaja?"

Beliau menjawab: "Adakah dia hendak bermain-main dengan kenabian? Mimpi itu satu bahagian daripada kenabian. Maka tidak boleh bermain-main dengan kenabian!"

Justeru, Zulkifli menasihatkan mereka yang bermimpi baik agar memohon kepada ALLAH. Sekiranya bermimpi tidak baik, maka hendaklah memohon perlindungan daripada ALLAH.

"Begitu juga mimpi yang membabitkan ummah sejagat seperti datangnya bala atau petaka, maka lebih baik ia sembunyikan dan berdoa memohon keampunan serta perlindungan kepada ALLAH. Ajaklah manusia bertaubat kepada ALLAH dan memberi ilmu dan pengetahuan dalam pengajarannya kepada masyarakat. Inilah cara yang terbaik," jelas beliau.

Sementara itu, pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran mengingatkan bahawa mimpi tidak boleh dijadikan hujah dalam hidup.

IMAM MUDA ARAN
IMAM MUDA ARAN

"Memang tidak dinafikan ada mimpi yang mempunyai sebab-sebab tertentu. Namun, ia bergantung juga kepada keadaan seseorang itu seperti apa yang dilakukan pada waktu siang atau sebelum tidur atau terlampau memikirkan sesuatu hingga terbawa-bawa dalam mimpi.

"Ada juga mimpi baik dan buruk. Dalam keadaan tertentu contohnya tiada apa-apa, tetapi bermimpi, kadangkala ada tafsiran tertentu menurut para ulama," katanya.

Selain itu, ujar Imam Muda Aran, terdapat mimpi yang benar sepertimana yang dialami oleh Nabi Yusof AS. Baginda kemudian menceritakan kepada ayahnya tentang mimpi melihat 11 bintang, matahari dan bulan sujud kepadanya.

"Begitu juga dengan mimpi Nabi Ibrahim AS menyembelih anaknya, Nabi Ismail. Sesungguhnya mimpi para nabi adalah benar dan tiada bangkangan," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!