Petani akan terus diberi perhatian
MELAKA TENGAH - Kebajikan golongan petani di negeri akan sentiasa diutamakan terutama bila berlaku kejadian banjir.
Exco Pertanian Pembangunan Usahawan Koperasi dan Asas Tani, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, walaupun beberapa negeri telah dilanda banjir namun Melaka masih dalam keadaan bersiap siaga dan berharap banjir tidak melanda hujung bulan ini.
"Kebiasaannya pada Disember memang ada beberapa tempat yang mengusahakan sektor pertanian dilanda banjir tapi kali ini kita lihat ia belum berlaku dan berharap tidak berlaku.
"Tapi segala ketentuan itu kita tidak boleh menolak dan seandainya banjir berlaku, saya tidak akan tinggalkan golongan petani dan akan turun padang untuk bersama-sama mereka," katanya ketika ditemui selepas program penyampaian sumbangan persekolahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu di Pasaraya Keluargaku di Bukit Palah di sini hari ini.
Norhizam berkata, petani tidak boleh dipinggirkan bukan hanya ketika musim tengkujuh malah setiap masa agar mereka dapat terus menjadi antara penyumbang kepada pendapatan negeri.
"Sudah pasti bila banjir, mereka yang mengusahakan pertanian di kawasan tanah rendah akan terjejas teruk berbanding mereka yang mengusahakan pertanian hidroponik," katanya.
Dalam perkembangan lain, Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, sempena program itu, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM20,000 bagi membantu seramai 100 kanak-kanak yang kurang bernasib baik.
Menurutnya, sumbangan itu diberikan dalam bentuk membayar kelengkapan persekolahan yang terpilih sendiri oleh kanak-kanak terlibat.
"Pada tahun lalu kita membantu pelajar yang dipilih oleh MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti kampung) dengan memberikan wang tunai bagi membolehkan mereka membayar yuran persekolahan.
"Namun tahun ini kita memberi peluang mereka membeli kelengkapan sekolah," katanya.
Katanya, selepas ini pihaknya akan mengadakan program gunting rambut di Kompleks JAPERUN Pengkalan Batu dalam masa terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!