MADA akan pastikan bekalan air cukup
ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan memastikan bekalan air untuk tanaman padi di seluruh kawasan Muda mencukupi walaupun cuaca panas mula melanda kawasan ini sejak awal bulan lalu.
Pengurus Besar MADA, Datuk Fouzi Ali berkata, sebahagian besar pengairan tanaman padi adalah bergantung kepada taburan hujan.
Menurutnya, taburan hujan pada tahun ini adalah kurang berbanding purata 20 tahun terdahulu dan pihak MADA akan meneruskan pengairan untuk tanaman padi menggunakan sumber air dari empangan MADA.
"Pengairan diteruskan bagi memastikan semua tanaman padi dapat dituai pada bulan Februari dan Mac 2020.”
"Mengikut jadual penanaman padi dan Bekalan Air Musim 2/2019 yang dikeluarkan oleh MADA pada pada bulan Ogos lalu, tarikh akhir bekalan air bagi musim ini untuk fasa 1 adalah pada 28 Januari 2020, fasa 2 pada 6 Februari 2020 dan fasa 3 adalah pada 17 Februari 2020, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fouzi berkata, MADA memohon semua pesawah supaya dapat bekerjasama dalam mengoptimumkan penggunaan air.
Katanya, pesawah juga perlu memastikan supaya tidak berlaku pembaziran air di kawasan sawah.
"Kawasan sawah yang tinggi perlu dipam dan pihak MADA akan berusaha untuk memastikan paras air di sungai serta tali air berada diparas yang sesuai untuk tujuan pengairan ini.
"Saya juga telah mengarahkan semua pejabat PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan) MADA sentiasa membuat pemantauan untuk memastikan bekalan air di kawasan sawah cukup," katanya.
Kedudukan takungan empangan sehingga 12 Disember 2019 adalah sebanyak 62.03 peratus bagi Empangan Pedu, 46.40 peratus bagi Empangan Muda dan 69.75 peratus bagi Empangan Ahning.
Pelepasan harian sebanyak 141.58 meter padu sesaat dari Empangan Pedu sedang dibuat untuk tujuan pengairan tanaman padi serta kegunaan bekalan air mentah domestik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!