Anak kucing berkepala dua
BANGKOK - Seorang pemilik kucing Parsi di Thailand terkejut apabila haiwan kesayangannya melahirkan anak kucing berkepala dua.
Chabaprai Nilpet, 52, dari kampung Moo di daerah Ban Pong berkata, selepas kucing peliharaannya melahirkan seekor anak kucing yang normal Isnin lalu, ia dilihat menghadapi kesukaran untuk melahirkan anaknya yang lain.
"Saya membawanya ke klinik haiwan untuk dibedah. Dua lagi anak kucing selamat dilahirkan tetapi kami semua terkejut apabila mendapati salah seekor daripadanya mempunyai dua kepala," katanya.
Bagaimanapun, anak kucing unik itu menghadapi masalah pernafasan dan doktor terpaksa merangsang paru-parunya bagi memastikan ia dapat bertahan dan terus hidup.
"Saya namakan kepala di bahagian kiri Thong yang bermaksud emas dan yang kanan Ngern atau perak. Saya akan jaga anak kucing ini sebaik mungkin," katanya.
Difahamkan, Nilpet adalah seorang pencinta kucing dan mempunyai kira-kira 10 ekor kucing lain. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!