Melayu mana paling mulia?
TUN Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang kelapan, sering bercakap tentang kelemahan, kemalasan dan kemajuan orang Melayu.
Sejak sebelum merdeka hinggalah sekarang isu kelemahan serta kemajuan orang Melayu terus menjadi perdebatan hangat sosiopolitik. Bila saya diajukan dengan soalan berkaitan isu itu, jawapan serta hujah yang saya beri dilakukan dengan penuh kewaspadaan. Isu itu boleh meledakkan perasaan orang yang berketurunan Melayu dan perbincangan mengenainya pula boleh disalahertikan dalam emosi era politik sekarang ini.
Era digital sedang mencorakkan cara berfikir dan jenis pemikiran manusia, tidak kira etnik dan ras keturunan. Sudah mula wujud satu cara berfikir dan bertindak yang merentasi batas sempadan bahasa, agama dan golongan etnik. Ini berlaku sementara ramai manusia masih sedar akan kepercayaan serta keturunannya.
Dalam usaha berfikir tentang orang Melayu, perlu ditekankan sifat sejagat yang terkandung dalam diri orang Melayu sebagai kumpulan manusia yang besar jumlahnya. Apakah sifat-sifat yang wajib ada pada bangsa Melayu jika ia mahu terus maju, berkembang dan dihormati?
Sifat pertama ialah amanah. Amanah ialah teras yang wajib ada pada diri apa bangsa pun. Sifat ‘A’ ini sangatlah penting bagi semua kita tanpa mengira keturunan. Orang Melayu yang mempunyainya adalah manusia yang amat berguna.
Sifat kedua ialah perkara yang berkaitan dengan sifat suka membaca dan bahan bacaan. Sifat kedua ini berkaitan dengan huruf ‘B’ untuk baca.
Orang Melayu mestilah cekap dalam menanggapi masalah dan cabaran hidup. Ilmu dan maklumat mestilah dikuasai oleh orang Melayu. Maklumat ialah satu istilah yang mempunyai dasar kata ilmu. Ini bermakna maklumat mempunyai potensi ilmu; dan ilmu yang diberkati akan mengangkat darjat orang yang berilmu. Sudah tentu orang Melayu yang bermaklumat tepat dan sahih adalah jauh lebih baik daripada orang Melayu yang senang sangat mempercayai berita angin dan berita palsu. Sifat ketiga ini berkaitan dengan huruf ‘C’ untuk cekap.Kita lihat pula sifat yang keempat yang dihubungkan dengan huruf ‘D’ untuk disiplin. Mana-mana manusia yang mempunyai disiplin yang tinggi adalah manusia yang mampu mengecapi dan mengekalkan kejayaan. Daripada disiplin dalam hubungan sesama makhluk Tuhan hinggalah disiplin dalam melaksanakan tugas. Istilah etika yang bermula dengan huruf ‘E’ ialah sifat yang kelima. Orang Melayu yang beretika adalah orang yang mengetahui akan buruk atau baik sesuatu sikap dan perbuatan. Maka ia akan melakukan kebaikan serta menolak atau membasmi keburukan. Bila orang Melayu yang beretika ini mempunyai adab yang tinggi, maka nama orang Melayu pun disanjung secara tabii. Bangsa berfikirKita sekarang sampai ke huruf yang keenam, iaitu ‘F’ yang merupakan huruf pertama bagi istilah fikir. Bangsa yang banyak berfikir dan bertindak menurut fikiran yang matang adalah bangsa yang berjaya. Bila orang Melayu beremosi dan berfikir, maka tindak tanduknya mencerminkan kematangan peribadinya. Ia tidak gopoh dengan tindakan yang melulu. Bila dia beremosi, bernyanyi, bersajak, berteater, bersilat dan bersastera, maka semua hasil perasaan dan pemikirannya memantulkan kecanggihan jiwanya yang hidup dan kaya dengan budi dan adab. Ciptaan sainsnya tidak memangkirkan (mangkir bermakna tidak hadir) nilai dan sifat manusiawi yang wajib wujud untuk kebaikan insan dan alam.
Setelah memikirkan enam sifat yang sangat penting bagi orang Melayu untuk terus maju, janganlah kita lupa bahawa bangsa ini menganut Islam sebagai agamanya. Jalan hidup yang ditempuh dijaganya dengan penuh rasa cemburu supaya ia tidak terkeluar dari landasan syariah. Dengan itu orang Melayu berupaya menjadi ejen kerahmatan di samping berani memperjuangkan kemakrufan dan memerangi kemungkaran.
Maka dengan sifat-sifat mulia itu, orang Melayu mempunyai kepercayaan diri sendiri dan tidak membenci bangsa lain. Dengan penuh ‘izzah’ (mulia diri) ia menghulurkan tangan persahabatan, salam insaniah kepada mana-mana bangsa yang sudi berkenalan dengannya. Orang Melayu ini tidak sedikit pun berasa rendah diri. Dengan rasa rendah hati dan tawaduk ia melihat semua bangsa sebagai ciptaan Tuhan; dan Dia mahukan kesemua mereka berkenalan dan berdamai.
Saya akhiri penulisan ini dengan makna ayat 13 surah Qur’an ke-49 (Surah al-hujurāt) tentang bangsa dan suku ciptaan ALLAH SWT:
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal; sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu; sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui, Maha Teliti.”
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!