Persidangan KL dan harapan Islam

A
A
A

JIKA ada era paling kritikal yang dihadapi umat Islam, abad 21 ini adalah zamannya.

Perlu diberi perhatian terhadap beberapa episod besar yang telah melanda umat. Bermula kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah pada tahun 1924, pencerobohan Zionis Yahudi ke atas Palestin yang melahirkan negara haram Israel 1948, pencerobohan Yahudi ke atas Baitulmaqdis dan Masjid Al Aqsa 1967, insiden September 11, 2001, Arab Spring 2011, Baitulmaqdis diisytihar sebagai ibu negara Israel 2017 dan bermulanya proses normalisasi sebahagian negara Arab dengan Israel 2018.

Semua babak sejarah di atas membekas kepada nasib umat Islam. Yang jelas umat Islam diporak-perandakan ke peringkat sangat parah.

Sementera itu, bergolaknya kerajaan Bahrain, Tunisia, Iraq, Syria, Sudan, Algeria, Yemen, Lebanon dan Libya akibat kebangkitan rakyat yang akhirnya dimanipulasi oleh kuasa luar mengakibatkan jutaan warga Muslim terkorban dan menjadi pelarian.

Ditambah lagi Mesir, Afghanistan, Somalia dan Nigeria sehingga sekarang tidak stabil dan terus bergolak.

Iran menjadi sasaran utama oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang didokong Arab Saudi dan Emirat Arab. Sekatan ekonomi yang ketat oleh AS ke atas Iran kini dikenakan sehingga menderitakan warga Iran.

Bila disenarai penderitaan umat Islam, maka etnik Rohingya, Uyghur, Kashmir, Palestin, Moro, Chechen menjadi ungkapan umat yang tidak berkesudahan. Bukan sahaja hak agama dinafi, mereka dilayan lebih buruk daripada haiwan.

Dalam keadaan inilah umat berdepan dengan tekanan tambahan iaitu kempen barat yang mempromosi Islamofobia iaitu menakut-nakutkan masyarakat awam dunia terhadap Islam. Naratif bahawa Islam adalah agama keganasan menjadi asas dasar luar negara- negara Barat. Umat Islam dipandang sebagai pencetus terorisme. Media Barat mengolah isu keganasan dengan mengaitkan Islam dan keganasan.

Artikel Berkaitan:

Senario itulah yang mendorong Tun Dr Mahathir Mohamad menggerakkan sebuah inisiatif Sidang Kemuncak Kuala Lumpur pada 18 dan 19 Disember ini. Suatu inisiatif yang cuba menghimpunkan beberapa ketua negara dan lebih 400 ahli cendekiawan dan aktivis dunia untuk membincangkan keadaan hal ehwal umat Islam masa kini dan bagaimana mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi mereka di seluruh dunia.

Sebelum ini, Dr Mahathir pernah mengumumkan ingin mewujudkan sebuah saluran media khas untuk membetulkan persepsi orang bukan Islam terutama Barat terhadap Islam. Beliau berusaha menjayakan penubuhan saluran media tersebut secara berkolaborasi dengan Pakistan dan Turki.

Soalnya kenapa pelbagai wadah antarabangsa yang selama ini telah diwujudkan untuk menangani pelbagai isu umat Islam gagal berfungsi dengan berkesan. Organisasi seperti Rabitah Alam Islami, OIC, IFSO, WAMY, D8, di samping juga Liga Arab dan GCC telah dihadirkan.

Namun keadaan umat Islam semakin parah. Lebih menyedihkan ialah perpecahan umat Islam kini mencapai keadaan yang sangat kritikal. Bukan sahaja umat berpecah malah saling menyerang. Muslim membunuh Muslim, negara Islam menyerang negara Islam yang lain kini menjadi realiti yang sangat menyedihkan.

Sidang Kemuncak KL yang bakal diadakan minggu depan akan menghadirkan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dan Presiden Turki, Tayyib Erdogan. Mereka akan menyampaikan ucapan. Diharap ia akan memberi peluang kepada umat Islam mendapat harapan bahawa keadaan akan berubah.

Umat Islam kini sedang tenat. Perpecahan, konflik sektarian, penindasan, kemunduran dan penafian hak. Di tengah-tengah kemelut itu semua, persidangan demi persidangan dilaksanakan. Sebenarnya sudah terlalu banyak persidangan ketua-ketua negara Islam telah diadakan. Akan tetapi nampaknya situasi umat bertambah parah.

Oleh itu Sidang Kemuncak KL ini diharapkan akan menatijahkan hasil yang konkrit. Perlu dirumuskan agenda bertindak yang konkrit sekali gus tindakan susulan yang rapi. Walaupun ia bukan suatu persidangan yang ada ikatan secara perundangan, akan tetapi ia boleh membawa impak besar kepada menyelesaikan isu umat Islam tertindas diseluruh dunia.

Bukan sahaja hak agama dinafi, mereka dilayan lebih buruk daripada haiwan."

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!