Ibu bapa kena ajar anak basuh kasut sekolah
SESI persekolahan baharu akan bermula tak lama lagi. Macam biasa sebelum cuti sekolah lagi ibu bapa sudah berkira-kira mengenai harga baju sekolah anak-anak.
Perbelanjaan untuk memberi kelengkapan sekolah membabitkan satu komitmen yang besar.
Tambahan lagi, jika anak sulung nak masuk Tahun Satu, banyaklah persoalan bagi ibu bapa muda. Di mana nak cari kelengkapan sekolah yang murah, selesa dan banyak stok. Setiap kali waktu makan tengah hari, itulah topik wajib perbincangan dengan rakan sekerja.Teringat Merak Jalanan ketika berbual dengan seorang guru mengenai warna kasut.
Kata beliau, peninglah kepala kalau kena mengajar selepas murid-murid jalani Pendidikan Jasmani.
Merak Jalanan hairan, kenapa?
Sambil bergelak ketawa, guru itu berkata budak-budak sekarang malas basuh kasut. Sebelum ini, jika cikgu nampak kasut putih dah bertukar warna, cikgulah yang akan membebel.
“Awak ni, dah berapa lama tak basuh kasut, cubalah belajar basuh kasut...”
Begitulah cikgu, bukan hanya mengejar silibus, tetapi juga mengajar tentang nilai dan adab. Dalam kata lain, selagi waktu sekolah belum habis, di bahu cikgulah segalanya tanggungjawab untuk memanusiakan manusia.
Menyambung cerita kasut hitam, kata beliau, pastinya cikgu sudah tidak dapat mengesan, kasut yang dah lama tak basuh maka tidaklah dapat mereka membebel supaya murid menjaga kebersihan.
Bayangkanlah, selepas bersukan dengan aroma peluh kaki dan hapak kasut yang dah lama tidak dicuci itu semerbak baunya dalam satu kelas.
“Kalau mengandung, boleh muntah hijau dibuatnya,” ceritanya sambil ketawa lagi.
Begitulah pendidik, walaupun terpaksa berhadapan suasana yang tidak menyenangkan mereka masih boleh ketawa dan menganggap itu insiden lucu.
Kepada ibu bapa, tengok-tengoklah kasut anak, ajar mereka basuh sendiri walaupun nasihat itu seperti pahat dengan pemukul.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!