Nilai murni dalam kalangan pelajar sekolah
MENGIKUT laporan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2018, sebanyak 36 peratus pelajar di negara ini dibuli beberapa kali dalam sebulan dan angka itu adalah 13 peratus lebih tinggi daripada purata yang dikeluarkan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), iaitu sebanyak 23 peratus.
Daripada keputusan itu, nampaknya matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang meletakkan matlamat utama ke arah melahirkan individu seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berasaskan pegangan teguh dan kepercayaan kepada Tuhan masih belum tercapai sepenuhnya.
Kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, pihak Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pelbagai inisiatif ke arah melahirkan generasi yang cemerlang dan terdidik dengan adab terpuji.
Justeru, penerapan nilai di peringkat sekolah diadakan sepanjang tahun.
Jika diikutkan program tahunan sekolah, seawal bulan Januari sudah ada program Jauhi Buli di peringkat sekolah menengah dalam kategori nilai Kasih Sayang.Di peringkat sekolah rendah pula Program Sayangi Diri, Sayangi Keluarga, Sayangi Komuniti Sekolah dan Cintakan Negara diterapkan dalam pelbagai aktiviti.
Hinggakan guru perlu beratur untuk menyambut kedatangan murid ke sekolah setiap pagi sambil mengucapkan tahniah kepada murid yang menghadirkan diri ke sekolah.
Kisah seorang pelajar di sebuah sekolah di Pasir Puteh, Kelantan yang kerap disuruh menyiapkan kerja sekolah menjadi kontroversi baru-baru ini. Akibat enggan lagi menuruti arahan, dia dipukul beberapa kali.
Lebih tragis, kejadian yang menimpa seorang pelajar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sehingga menyebabkan kematian.
Liputan mengenai siri perbicaraan yang sedang berlangsung merobek hati semua rakyat Malaysia.
Ibu bapa mana yang tidak menitiskan air mata melihat si anak diperlakukan sezalim itu.Kita semua perlu mengambil tanggungjawab untuk menghentikan perbuatan zalim itu daripada berulang. Gerakan membina tamadun bangsa harus bermula dari bawah. Dalam kita mengejar Revolusi Industri 4.0, nilai manusiawi itu harus menjadi menjadi tunjang utama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!