Langkah cegah polio terkawal
KUANTAN - Masyarakat tidak perlu bimbang berhubung penularan virus polio khususnya ke negeri ini berikutan langkah pengawalan berada pada tahap terbaik dan terkawal.
Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Dr Shaari Ngadiman berkata, kerjasama dan kesedaran rakyat negeri ini terhadap tahap imunisasi dan suntikan vaksin adalah tinggi.
"Apa yang kita jalankan pada masa kini tentang langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit, virus dan sebagainya adalah terkawal.
"Tiada isu berkenaan polio dan kita sentiasa memastikan langkah ini dilaksana dengan baik. Apa yang penting adalah pencegahan," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, kes yang berlaku di Sabah baru-baru ini dikesan kerana ada yang tidak mengambil vaksin polio.
"Di Pahang, bagi saya kempen terhadap keperluan imunisasi juga turut dilaksanakan secara berterusan dan masyarakat menyambut baik suntikan vaksin," katanya.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan seorang bayi lelaki berumur 3 bulan dari Tuaran, Sabah dijangkiti penyakit itu, setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit polio.
Ketua pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bayi itu mengalami demam diikuti lemah anggota badan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di hospital sebelum disahkan dijangkiti 'vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1)', Jumaat lepas.
Sehingga 5 Disember 2019, hasil siasatan di kawasan tempat tinggal kanak-kanak yang dijangkiti polio di Sabah ini mendapati 23 daripada 199 orangyang berumur di antara 2 bulan hingga 15 tahun tidak menerima vaksin polio.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!