SMK Gudang Rasau jalin kerjasama dengan sekolah di Kemboja dan Vietnam
KUANTAN - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau di sini melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menjalinkan kerjasama dengan dua sekolah pendidikan khas terkemuka di Kemboja dan Vietnam.
Kerjasama bersama The Rabbit School, Phnom Penh, Kemboja dan STEP School, Ho Chi Minh, Vietnam itu diadakan sempena Program Lawatan Sambil Belajar ke dua negara Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) itu pada 1 hingga 5 Disember lalu.
Melalui perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara SMK Gudang Rasau dan dua institusi pendidikan khas di Kemboja dan Vietnam itu membuka peluang kerjasama dalam aspek perkongsian idea teknik pengajaran, pembelajaran, pertukaran maklumat dan jalinan persefahaman demi manfaat pelajar pendidikan khas di semua institusi berkenaan.
Guru Pengelola Lawatan, Mohd Nasar Sukor berkata, lawatan sambil belajar yang disertai 33 pelajar Kelas Pendidikan Khas Pembelajaran (KPKP) SMK Gudang Rasau termasuk wakil sekolah dan ibu bapa itu antara lain bertujuan mewujudkan persefahaman dan jalinan kerjasama antara sekolah.
Menurutnya, pada masa sama dapat mendedahkan pelajar (peserta lawatan) kepada cara hidup, kebudayaan, latar belakang dan sejarah masyarakat di Kemboja dan Vietnam.
"Program ini juga dapat membantu pelajar mengurus keperluan diri sendiri, mengurus kewangan dan masa," katanya.
Lawatan selama lima hari itu turut disertai Pengetuanya, Hasbullah Abdul Latif dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Normah Yazam Abdullah.
Mohd Nasar berkata, antara destinasi lawatan sepanjang berada di Kemboja termasuk ke tempat menarik dan bersejarah sekitar Phnom Penh.
"Peserta juga dibawa berkunjung ke The Rabbit School, Phnom Penh untuk bertukar pendapat dan beramah mesra dengan warga sekolah itu seterusnya menandatangani MoU.
"Paling mengujakan peserta ketika lawatan ke perkampungan Islam di Phnom Penh di mana penduduknya tinggal di dalam bot-bot kecil kerana tidak mempunyai penempatan. Peserta lawatan telah mengumpul dana dan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban penduduk di situ," katanya.
Menurutnya, sumbangan berupa alat tulis dan bahan bacaan turut dihulurkan untuk anak-anak penduduk hasil sumbangan Yang Dipertua PIBG dan ibu bapa.
"Pada hari ketiga, peserta lawatan melanjutkan perjalanan menggunakan bas dari Phnom Penh ke Ho Chi Minh, Vietnam yang mengambil masa kira-kira tujuh jam.
"Di Ho Chi Minh, peserta berkunjung ke STEPS School, sebuah sekolah pendidikan khas yang mempunyai murid daripada pelbagai kategori termasuk autisme, cerebral palsy, bermasalah pembelajaran dan lain-lain.
"Kami disambut mesra oleh warga sekolah ini dan dipersembahkan pelbagai persembahan oleh pelajarnya," katanya.
Mohd Nasar berkata, MoU juga telah ditandatangani antara kedua buah sekolah.
Katanya, hasil lawatan itu, KPKP SMK Gudang Rasau bercadang untuk membuat lawatan serupa ke negara-negara ASEAN yang lain pada masa akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!