Saran naik taraf kuarters penjara di Malaysia
ALOR SETAR - Beberapa buah kuarters Jabatan Penjara di Malaysia perlu diberi perhatian berikutan keadaan tidak selesa untuk diduduki kakitangan.
Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, bukan itu sahaja, kebajikan kakitangan juga harus diberi perhatian dalam usaha meningkatkan lagi prestasi kerja semua kakitangan ke tahap lebih baik.
Menurutnya, terbaru, dua kuarters sudah siap iaitu di Kajang, Selangor dan Alor Setar, Kedah manakala dua lagi bakal dinaik taraf pada tahun depan iaitu di Langkawi, Kedah dan Seremban, Negeri Sembilan.
"Penaiktarafan kuarters itu ialah untuk kebajikan kakitangan awam. Dulu, kuarters kita lihat agak uzur. Satu rumah ada satu bilik, dua bilik dan agak lama. Kuarters yang lama kita roboh dan buat yang baharu agar lebih selesa.
"Suasana rumah seharusnya selesa dan mereka mampu melaksanakan kerja yang baik. Jika tinggal dalam keadaan yang tidak selesa, maka ia akan memberikan kesan tidak baik," katanya selepas merasmikan Kuarters baharu Kakitangan Penjara Alor Setar di sini semalam.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan jumlah kuarters yang perlu diberi perhatian dan dinaik taraf.
Zulkifli berkata, projek Kuarters Penjara Alor Setar yang bernilai RM6.14 juta telah dimulakan pada tahun 2017 mempunyai 24 unit kuarters kakitangan kelas F, satu unit rumah tetamu, satu unit bilik mesyuarat, bilik rekreasi, tadika, koperasi dan surau.
Jelasnya, projek tersebut ialah usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sentiasa memastikan agensi di bawah jabatan berkenaan mempunyai kemudahan dan infrastruktur selesa bagi mewujudkan persekitaran kediaman yang selesa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!