Penoreh berdepan penyusutan susu getah
PADANG BESAR - Penyusutan susu getah yang semakin ketara membimbangkan golongan penoreh berikutan situasi berkenaan boleh menjejaskan pendapatan mereka.
Penoreh getah Felda Mata Ayer, Subuh Bidin, 68, berkata, keadaan tersebut berlaku sejak beberapa bulan lalu menyebabkan perbelanjaan barangan keperluan harian terpaksa dicatu bagi mencukupkan perbelanjaan untuk persediaan persekolahan anak-anak yang kurang sebulan sahaja lagi.
"Hal berkaitan pakaian sekolah juga terpaksa diketepikan terlebih dahulu bagi memberi keutamaan kepada yuran dan pembelian buku," katanya ketika ditemui di Felda Mata Ayer, semalam.
Mengakui masalah sama, Shafie Sawai, 66, berkata, cuaca panas akibat musim kemarau yang melanda Perlis turut memberi kesan kepada penoreh apabila susu getah yang ditoreh cepat mengering.
Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan pendapatan mereka susut sekali ganda berbanding sebelumnya.
Shafie berkata, daripada lebih 250 kilogram getah diperoleh dalam seminggu, kini hasilnya cuma tinggal kira-kira 150 kilogram sahaja.
"Tambahan pula pada ketika ini, harga komoditi getah cuma antara RM2.40 hingga RM2.60 sekilogram sahaja," katanya.
Shafie berkata, jika diikutkan, harga tersebut masih tidak berupaya mengurangkan beban penoreh, lebih-lebih lagi ketika berdepan musim kemarau dan hujan yang tidak menentu.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Felda Mata Ayer, Firdaus Amer berkata, kesemua penoreh getah berdepan dengan masalah masa.
Difahamkan, penyusutan susu getah berlaku sejak November lalu akibat musim kemarau yang dijangka berlarutan sehingga Januari depan.
Kata penoreh, pengeluaran susu getah berhenti dalam tempoh kurang 30 minit selepas ditoreh, berbanding dua atau tiga jam sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!