Jemaah umrah meninggal bukan dijangkiti MERS-CoV

Dr Norhizan Ismail
Dr Norhizan Ismail
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Jabatan Kesihatan Kedah menafikan seorang jemaah Malaysia yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini semalam disebabkan Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV).

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, siasatan mendapati Allahyarham yang merupakan seorang lelaki dari Pokok Sena adalah penghidap diabetes dan darah tinggi ketika menerima rawatan.

"Arwah ke Makkah untuk menunaikan umrah pada 30 November sehingga 10 Disember lepas bersama isteri. Arwah tidak sihat sejak 5 Disember semasa berada di Tanah Suci.

"Pada 7 Disember lalu, arwah mula demam, sakit tekak dan batuk, namun tiada sejarah pendedahan kepada unta," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, arwah kemudiannya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 6 petang pada Selasa lepas sebelum bertolak ke Alor Setar menaiki bas.

"Namun, arwah dibawa ke Jabatan Kecemasan HSB keesokan harinya dan terus menerima rawatan di Zon Merah kira-kira jam 10 pagi Rabu lalu," katanya.

Dr Norhizan berkata, arwah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) tetapi meninggal dunia semalam disebabkan jangkitan paru-paru (pneumonia).

"Ujian bagi MERS-CoV adalah negatif dan kes ini disahkan bukan kes MERS-CoV," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!