'Komunis tidak layak diagung-agungkan'- PVATTBM

- Foto keratan daripada Filem Bukit Kepong
- Foto keratan daripada Filem Bukit Kepong
A
A
A

KANGAR - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) menyambut baik teguran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar rakyat negara ini tidak mengagungkan pemimpin komunis.

Presidennya, Ismail Abidin berkata komunis banyak melakukan kezaliman kepada rakyat di negara ini dan tidak layak untuk diagung-agungkan.

“Kalau ada sesiapa yang mengagungkan PKM (Parti Komunis Malaya) nyata sekali mereka tidak mengetahui fakta sebenar sejarah yang mencatatkan bagaimana ganasnya anggota-anggota parti itu.

"Ramai anggota keselamatan termasuk tentera terkorban angkara keganasan komunis menyebabkan para isteri hilang suami dan anak-anak menjadi yatim," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sultan Selangor pada istiadat pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran bersempena ulang tahun keputeraan ke-74 baginda di Istana Alam Shah, Klang pada Rabu lalu mengingatkan rakyat supaya tidak terkeliru dengan fakta sejarah berkaitan perjuangan PKM dan mengagungkan pemimpinnya.

Ismail berkata, ahli PVATTBM juga amat terguris dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab membawa secara haram abu mayat bekas pemimpin PKM, Chin Peng ke negara ini sedangkan bekas setiausaha PKM itu terlibat secara langsung dengan keganasan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!