Inovasi bantu pesakit diabetes

DR Mohd Yazid (kanan) ketika pemeriksaan rutin pesakit di wad penjagaan kaki dan buku lali untuk pesakit diabetes di HCTM.
DR Mohd Yazid (kanan) ketika pemeriksaan rutin pesakit di wad penjagaan kaki dan buku lali untuk pesakit diabetes di HCTM.
A
A
A

JIKA kamu mempermudah urusan orang lain, nescaya urusan kamu juga akan dipermudahkan oleh ALLAH.”

Mutiara kata pendek itu menjadi pembakar semangat pakar Ortopedik, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) Cheras, Selangor, Prof Madya Dr Mohd Yazid Bajuri dalam usaha beliau membantu pesakit diabetes mellitus atau kencing manis.

Merupakan satu-satunya pakar pembedahan kaki dan buku lali di HCTM, usahanya mencari inovasi terbaharu kaedah rawatan dan pemulihan terbaik untuk pesakit kencing manis tidak pernah berhenti.

Mula menjadi doktor pakar pada 2009, awalnya beliau melihat begitu banyak ranjau terpaksa ditanggung pesakit terutama yang membabitkan luka di bahagian kaki akibat penyakit pembunuh senyap itu. Keadaan tersebut mendorong Dr Mohd Yazid melakukan penyelidikan demi penyelidikan.

“Walaupun tugas doktor adalah merawat, tetapi saya berminat untuk memberi sesuatu yang lebih kepada pesakit dengan melakukan kajian bagi mencipta inovasi untuk membantu masalah dihadapi penderita kencing manis,” katanya kepada Bernama dalam wawancara baru-baru ini.

Inovasi baharu

Terbaharu, beliau sedang melakukan penyelidikan bagi menghasilkan pencuci luka yang mampu mempercepatkan proses penyembuhan luka pesakit dengan lebih optimum iaitu pengeringan luka seawal tujuh hari.

“Inovasi baharu itu boleh membunuh semua jenis bakteria dan kuman yang ada pada luka. Pencuci luka ini dijangka siap pada pertengahan 2020.

Artikel Berkaitan:

“Selain dapat membantu mempercepatkan penyembuhan luka, ia juga boleh mengurangkan kos rawatan pesakit kerana hanya menggunakan satu pencuci luka untuk semua jenis luka,” katanya.

Pada masa ini pencuci luka yang terdapat di pasaran hanya mampu membunuh sesetengah spesies bakteria sahaja.

Pun demikian, apabila terdapat bakteria lain pada luka, ia tidak mampu melawannya dan menyebabkan luka lambat sembuh. Pesakit pula perlu menggunakan beberapa jenis pencuci luka mengikut keadaan dan tahap luka yang dihadapi.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu berkata, hampir 30 peratus pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan di wad ortopedik mempunyai luka teruk di kaki.

“Mereka (pesakit diabetes) memerlukan penjagaan rapi bagi mengelakkan luka. Kebanyakan pada awalnya tidak perasan luka telah berlaku kerana sistem saraf sudah tidak lagi sensitif menyebabkan hilang deria sentuh seperti orang normal.

“Sesetengahnya pula sedar akan luka di kaki. Tetapi disebabkan rasa takut kaki dipotong, menyebabkan mereka lambat mendapatkan rawatan di hospital. Ini boleh menyebabkan komplikasi kuman merebak ke bahagian badan yang lain,” katanya.

DR MOHD YAZID BAJURI
DR MOHD YAZID BAJURI

Dr Mohd Yazid menjelaskan, kesan penyakit diabetes mellitus Jenis II ini bukan sahaja memudaratkan kesihatan, tetapi menjejaskan sumber ekonomi dan sosial pesakit serta keluarga untuk jangka panjang.

“Kebanyakan pesakit yang mendapatkan rawatan adalah dalam kalangan mereka berpendapatan isi rumah rendah (B40) yang sudah tentu memberi kesan ekonomi kepada keluarga.

“Apabila luka teruk pada kaki, sudah tentu mereka tidak mampu bekerja, bayangkan jika lelaki yang menjadi ketua keluarga. Ia memberi kesan kepada keluarga terutama pada isteri dan anak-anak,” katanya.

Wad khas penjagaan kaki

Bukan setakat memerlukan sokongan keluarga, penghidap diabetes juga harus dipantau secara optimum di hospital bagi mempercepatkan proses penyembuhan.

Melihat kepada keperluan untuk memberikan rawatan lebih berkualiti, Dr Yazid yang juga pensyarah di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menubuhkan wad penjagaan kaki dan buku lali yang beroperasi sejak 2018.

Wad khas yang terletak bersebelahan wad ortopedik lelaki itu berjaya ditubuhkan hasil sumbangan Dana Wakaf Selangor Muamalat.

Peruntukan sebanyak RM300,000 digunakan bagi mengubah suai ruang rehat dan menunggu keluarga pesakit kepada sebuah wad yang selesa khusus untuk penjagaan kaki pesakit diabetes.

Selain itu, Berjaya Group Berhad juga turut menyumbang dana sebanyak RM40,000 bagi bantuan membeli peralatan di wad tersebut.

“Saya merangkakan program untuk pesakit yang masuk ke sini daripada pemakanan melalui diet mereka, penjagaan luka dan sebagainya. Jika terdapat komplikasi pada luka tersebut, contohnya kuman dan bakteria merebak ke dalam darah, pakar perubatan dalaman akan dirujuk untuk tindakan seterusnya.

“Ini membezakan rawatan diabetes di HCTM dengan hospital lain di Malaysia, kemudahannya lebih lengkap dengan pelbagai disiplin kepakaran khusus untuk pesakit kencing manis,” katanya dengan menambah, setakat ini wad berkenaan merawat sekitar 100 orang pesakit.

Terdapat beberapa kaedah rawatan untuk pesakit diabetes di wad itu mengikut keperluan antaranya rawatan terapi ulat, terapi oksigen selain pembedahan kaki dan buku lali.

Menurut Dr Mohd Yazid, sebagai doktor pakar, beliau tidak akan semudahnya mengambil keputusan untuk memotong kaki pesakit.

“Di sini, saya lebih menitik beratkan proses mencuci luka daripada memotong kaki. Setiap hari luka akan dicuci dua kali sehari pagi dan petang.

“Namun sekiranya kuman sudah merebak ke dalam sistem badan lain hingga merosakkan buah pinggang dan hati yang mengakibatkan komplikasi lain, kita terpaksa mengutamakan nyawa pesakit dengan memotong bahagian sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata, wad khas itu juga antaranya memberi tunjuk ajar kepada ahli keluarga pesakit tentang cara-cara penjagaan luka bagi mengurangkan risiko jangkitan kuman.

INOVASI baharu boleh membunuh semua jenis bakteria dan kuman yang ada pada luka selain dijangka siap pada pertengahan 2020.
INOVASI baharu boleh membunuh semua jenis bakteria dan kuman yang ada pada luka selain dijangka siap pada pertengahan 2020.

Kasut dan kaki palsu

Tidak cukup dengan wad khas yang menjadi ‘anak emas’ Dr Yazid, beliau turut membuat inovasi dengan menghasilkan kasut khas bagi mengelakkan luka pada kaki pesakit diabetes dan kaki palsu yang boleh dibawa solat terutama untuk pesakit beragama Islam.

Berkongsi tentang inovasi kasut dan kaki palsu yang dijalankan, Dr Yazid berkata, ia tercetus apabila terdapat keluhan pesakit yang tidak selesa memakai kasut dibeli di pasaran walaupun membelanjakan wang banyak untuk mendapatkannya.

Sementara itu, inovasi kaki palsu pula dilakukan setelah melihat ramai pesakit terutama mereka beragama Islam terpaksa menanggalkan kaki palsu mereka setiap kali menunaikan solat.

“Alhamdulillah, syukur kerana saya berjaya menghasilkan satu lagi inovasi kaki palsu yang boleh dibengkokkan seperti kaki normal yang memudahkan pesakit untuk solat tanpa perlu menanggalkannya lagi.

“Begitu juga dengan kasut khas untuk pesakit kencing manis ini dengan membuatnya mengikut keselesaan kaki individu bagi mengelakkan tekanan untuk mengurangkan risiko luka,” katanya.

Selain untuk keselesaan pesakit, inovasi kedua-dua produk itu juga bertujuan membantu mengurangkan kos pesakit dengan menghasilkan kasut dan kaki palsu mampu milik.

Menurut Dr Mohd Yazid, kasut khas dan kaki palsu yang ada di pasaran biasanya dijual pada harga mahal hingga ribuan ringgit.

“Jika pesakit tidak mampu, sudah tentu mereka tidak dapat membelinya pada harga tersebut. Saya sebagai perawat, pensyarah universiti dan penyelidik merasa bertanggungjawab untuk menghasilkan kasut dan kaki palsu yang lebih murah untuk lebih ramai mendapat kebaikan dan manfaatnya,” katanya.

Bagi membantu kumpulan B40 mendapatkan kasut dan kaki palsu secara percuma, beliau berjaya mendapat bantuan kerajaan sebanyak RM274,300 daripada Kementerian Tenaga, Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melalui Dana Program Malaysia Sosial Innovation (MySI).

“Melalui dana tersebut, kita sasarkan untuk membantu lebih kurang 200 hingga 250 orang pesakit bagi mendapatkan kaki palsu atau kasut khas yang kami cipta sendiri di sini.

“Kita akan tempah kasut dan kaki palsu itu secara terus daripada pembekal yang dilantik, tidak melalui pengedar atau orang tengah. Ini akan menjadikan harganya jauh lebih murah,” katanya sambil menambah, bantuan kasut dan kaki palsu akan dimulakan sebaik sahaja memperoleh dana tersebut.

HTCM hospital rujukan diabetes

Kajian Kesihatan Morbiliti dan Kesihatan Kebangsaan 2015 mendapati, 17.5 peratus penduduk di negara ini yang berusia 18 tahun adalah penghidap diabetes jenis II. Jumlah itu dijangka meningkat kepada 21 peratus pada tahun 2020.

Kira-kira 15 peratus pesakit kencing manis mengalami luka dan ulser kaki akibat diabetes dan 4.3 peratus pesakit pula terpaksa melalui prosedur pemotongan terutama bahagian kaki.

Menurut Dr Yazid, selain meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kesan bahaya kencing manis, hospital juga perlu menyediakan perkhidmatan yang terbaik dalam merawat penyakit tersebut.

Beliau yang memiliki sub kepakaran dalam bidang kaki dan buku lali dari Kantonspital Liestal, Switzerland berkata, lebih ramai pakar terutama dalam bidang kaki dan buku lali perlu dilahirkan untuk menampung keperluan pesakit yang semakin meningkat.

“Tidak ramai doktor berminat dalam kepakaran penyakit kencing manis sedangkan pesakit sentiasa meningkat. Di HCTM, hanya saya seorang pakar dalam bidang ini dan di hospital kerajaan juga tidak ramai ada kepakaran ini,” katanya yang kini turut melatih beberapa orang doktor daripada hospital kerajaan dan hospital universiti untuk mendalami kepakaran kaki dan buku lali.

Katanya, HTCM mahu menjadi pusat sehenti bagi pendidikan dietetik diabetes khusus dalam rawatan diabetes yang boleh menjadi rujukan semua hospital di Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!