Pengorbanan seorang ayah
INDONESIA - Seorang ayah sanggup melakukan apa sahaja biarpun sanggup berpenat lelah serta berhujan panas demi sesuap nasi buat isteri dan anak-anaknya yang tercinta.
Perkara ini telah dibuktikan oleh sekeping gambar yang memaparkan seorang ayah dengan mengenakan kostum badut sedang duduk sambil melihat anaknya makan mengundang pelbagai reaksi warganet.
Dalam foto berkenaan, seorang individu yang memakai kostum arnab duduk bersandar di sisi seorang kanak-kanak yang didakwa sedang menikmati makanan yang telah dikongsi viralrepost.id di laman Instagram.
Memetik laporan Makassar Terkini, susuk di dalam kostum tersebut merupakan ayah kepada kanak-kanak berkenaan.
"Lelaki tersebut telah mencari nafkah dengan bekerja sebagai badut penghibur demi menampung perbelanjaan harian hidup keluarganya.
"Kedua-dua mereka didakwa sering dilihat berhampiran sebuah kampus universiti di Jawa Barat Indonesia.
“Lelaki dan kanak-kanak itu kerap ditemui di tepi kampus Gunadarma, Margonda, Depok. Tepatnya di jambatan ke arah stesen Pondok Cina,” katanya.
Dalam pada itu, perkongsian gambar tersebut oleh viralrepost.id kini tular di media sosial yang meraih 1274 tanda suka dan rata-rata netizen sebak dengan nasib yang dialami oleh lelaki dan anaknya itu.
"ALLAH, kuat sungguh dugaan yang diterima oleh ayah tersebut. Mungkin si ayah lapar tapi apabila melihat anaknya lebih memerlukan berbanding dia, terus dia tak mahu makan. Semoga ALLAH mempermudahkan urusan keluarga ini," kata Azhan di Instagram.
Dalam pada itu Ina Rahman pula memberitahu "Ya ALLAH, kau berilah mereka kekuatan untuk mencari rezeki halal yang boleh digunakan oleh keluarga ini. Tengok dari gambar sahaja tahu bahawa mereka bukan di kalangan orang berada."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!