Pertandingan masakan terima tiga pengiktirafan MBOR
ALOR SETAR - Pertandingan masakan, World Chef Championship Malaysia 2019 mencipta sejarah tersendiri apabila menerima tiga pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR).
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, rekod itu dicipta melalui kategori pertandingan jenis masakan paling banyak, juri pertandingan paling ramai dan bilangan peserta paling ramai.
Menurut Mukhriz, pertandingan itu diberi pengiktirafan apabila menawarkan 84 sub kategori daripada 14 kategori utama jenis masakan dalam usaha menonjolkan kepelbagaian budaya makanan.
"14 kategori utama itu meliputi dim sum, masakan Jepun, paparan sejuk, patisserie, kuih-muih tradisional Melayu, cabaran barista, masakan panas, warga emas, vegetarian dan persembahan memaparkan kemewahan makanan.
"Malah, pertandingan terbabit mencipta rekod apabila diadili 69 juri profesional, sekaligus menjadikan ia sebagai pembabitan juri paling ramai dan juga bilangan peserta paling ramai," katanya.
Beliau berkata sedemikian dalam teks ucapan dibacakan Exco Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan, Asmirul Anuar Aris ketika merasmikan World Chef Championship Malaysia 2019 di Stadium Suka Menanti di sini tadi.
Beliau berkata, pertandingan terbabit turut disertai seorang peserta termuda yang berusia 13 tahun daripada Alor Setar.
Dalam perkembangan sama, katanya, pihaknya menyifatkan penganjuran pertandingan itu bertepatan memandangkan ia mampu memberi rangsangan kepada sektor pelancongan di Kedah.
"Malaysia terkenal dengan keunikan dan kepelbagaian makanan, jadi usaha mempromosikan makanan adalah bersamaan dengan mempromosikan pelancongan berikutan kedua-dua saling melengkapi antara satu sama lain," katanya.
Sehubungan itu, katanya, pertandingan diadakan dalam usaha membawa masuk 36 juta pelancong antarabangsa ke Malaysia pada 2020 bersempena Visit Malaysia 2020.
Katanya, pihaknya percaya Kedah dapat memanfaatkan reputasi baik, sekaligus mempromosikan budaya makanan di negeri ke mata orang ramai melalui pertandingan masakan bertaraf dunia itu.
"Jadi, pertandingan itu akan bertindak sebagai jambatan kebudayaan yang menghubungkan Kedah dunia sekaligus mempromosikan budaya kurang diketahui di negeri ini dan Malaysia ke arena global," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!