Anwar perlu masa untuk bertenang, kata Zuraida
KUANTAN - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semua ahli parti dinasihatkan agar bertenang dan berhenti membuat kenyataan terbuka berikutan krisis dalaman parti itu.
Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin berkata, semua kepimpinan dan ahli parti tidak perlu mengeruhkan lagi situasi yang berlaku pada ketika ini.
"Presiden (Anwar) perlu masa untuk bertenang dan seeloknya semua orang bertenang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kumpulan veteran gerakan reformasi 1998 Otai Reformis menyerahkan memorandum mendesak tindakan diambil terhadap Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pasukannya.
Zuraida berkata, pihak yang tidak terlibat dengan PKR tidak sewajarnya mengapi-apikan krisis kepimpinan yang sedang dilalui parti itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Kapal tak boleh ada dua nakhoda: Wan Azizah
"Kalau boleh pihak yang tidak ada kena mengena dengan parti jangan bagi sebarang komen (kenyataan).
"Tapi kalau mereka hendak juga beri komen..mesti ada kepentingan diri mereka sendiri," katanya.
Dalam pada itu, Zuraida berkata, beliau bersedia pada bila-bila masa sekiranya dipanggil oleh Lembaga Disiplin parti itu.
Semalam, Anwar mengarahkan semua pihak menggunakan saluran dalaman dan berhenti membuat kenyataan terbuka berkaitan perbalahan dalaman parti itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!