Rentak Arsenal makin positif
PENGENDALI sementara Arsenal, Freddie Ljungberg memuji semangat juang dipamerkan para pemain The Gunners ketika bangkit mengikat Standard Liege 2-2 di Stade Maurice Dufrasne awal pagi semalam.
Ljungberg berkata, beliau bangga dengan keyakinan diri dalam kalangan barisan pemainnya untuk bangkit menyaingi Liege pada perlawanan penting itu.
Menurutnya lagi, keyakinan diri dan tidak kenal erti mengalah skuad The Gunners semakin meningkat selepas kejayaan menewaskan West Ham United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Olimpik, London Selasa lalu.
"Pada babak pertama, para pemain Arsenal beraksi baik sehingga berpeluang menjaringkan satu atau dua gol sebelum waktu rehat tetapi ketumpulan penyudah sering kali mengecewakan kami.
"Pada babak kedua, kami dikejutkan dua jaringan tuan rumah yang boleh menyebabkan kami tewas mudah. Namun, para pemain Arsenal yang tidak mudah menyerah kalah bangkit mengikat kembali kedudukan 2-2.
"Secara jujur, saya bangga dengan karakter luar biasa para pemain selain keyakinan diri mereka juga mula konsisten. Ini satu petanda positif untuk buat masa depan kelab ini," kata Ljungberg.
Dalam aksi terakhir Kumpulan F Liga Europa itu, Arsenal terlebih dulu ketinggalan hasil jaringan Samuel Bastien pada minit ke-47 dan Selim Amallah (69).
Namun, dua gol tuan rumah itu tidak mematikan karakter juang The Gunners yang menyamakan kedudukan menerusi Alexandre Lacazette pada minit ke-78 diikuti jaringan Bukayo Saka berselang tiga minit kemudian.
Keputusan seri 2-2 itu membolehkan Arsenal mara ke kelompok 32 terbaik dengan status juara Kumpulan F setelah Eintracht Frankfurt tewas 2-3 kepada Victoria Guimaraes di laman lawan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!