Di tangan budak ini bukan telefon bimbit tetapi al-Quran
JAKARTA - Keasyikan kanak-kanak dengan gajet yang kemudiannya bertukar kepada ketagihan apabila mereka meningkat ke usia remaja menimbulkan kebimbangan dalam masyarakat pada masa kini.
Manakan tidak, sukar untuk melihat kanak-kanak meluangkan masa dengan membaca buku, mengaji sebaliknya di tangan hanya telefon bimbit.
Berbeza dengan penularan gambar dari negara seberang apabila menunjukkan seorang kanak-kanak terlena bukan bermain 'game' tetapi menghafal ayat-ayat al-Quran.
Foto tular di laman Twitter dimuat naik di @eta_R305 mendedahkan kanak-kanak lingkungan usia 10 tahun itu nyenyak tidur di atas lantai bersandarkan tepi almari turut memegang al-Quran bersaiz kecil di tangannya.
Berkemungkinan kata pelayar Twitter, kanak-kanak itu sedang berehat di sekolah dan mengisi masa luangnya dengan ayat suci al-Quran.
Perkongsian itu mengundang perhatian ramai yang rata-rata kagum melihat tindakan budak tersebut dan pastinya ibu bapa gembira melihat anaknya dalam keadaan sedemikian.
Kata @Parew4_Minang, "Masha ALLAH, tabarakallahu, beruntungnya orang tua mudik," ciapnya.
Tambah @tulussharton0, "Masya ALLAH, semoga menjadi hafiz Quran dan ahli agama Islam, amin."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!