Polis melawat lokasi rumah Anwar
KUALA LUMPUR - Polis melawat lokasi di rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam yang didakwa Muhammed Yusoff Rawther sebagai lokasi berlaku kejadian cabul membabitkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, lokasi itu termasuk ruang tamu dan bilik seperti dalam akuan bersumpah dibuat Mohamad Yusoff.
Menurutnya, lawatan ke tempat kejadian itu adalah sebahagian daripada siasatan berhubung kejadian berkenaan.
“Lepas kita ambil keterangan di Bukit Aman, Datuk Seri (Anwar Ibrahim) balik ke rumah, kita menyusul. Lawatan sekejap sahaja mengambil masa kira-kira 30 hingga 45 minit.
"Lokasi tempat dilawat adalah seperti akuan bersumpah (Muhammed) Yusoff Rawther,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mior Faridalathrash berkata, pihaknya tidak menolak untuk memanggil satu atau dua lagi individu yang dinamakan di dalam akuan bersumpah berkenaan.
“Kita akan panggil nama disebut di dalam akuan bersumpah berkenaan jika dirasakan ada kaitan dengan kes itu,” katanya.
Pada Isnin lalu Muhammed Yusoff hadir ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung dakwaan perlakuan tidak senonoh terhadapnya oleh Anwar.
Dia memberi keterangan selama tujuh jam bermula 2 petang sehingga 10 malam.
Pada Selasa lalu, dia sekali lagi dipanggil untuk memberi keterangan kali kedua di Bukit Aman.
Semalam, Presiden PKR itu hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung kes itu.
Beliau tiba pada 3.45 petang sebelum keterangannya diambil pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman selama satu jam 30 minit.
Susulan itu, polis kemudian melawat ke rumah Anwar untuk membantu siasatan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!