Tabung Haji kini di landasan tepat: Nik Mohd Hasyudeen

Nik Mohd Hasyudeen
Nik Mohd Hasyudeen
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) kini berada di landasan betul meskipun berdepan pelbagai cabaran dalam pelan pemulihan mereka.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, TH kini perlu sentiasa fokus kepada pelaburan selamat tapi memberi pulangan munasabah kepada badan pengurusan haji tersebut.

“Kita mentadbir dana orang yang nak pergi ke Mekah, jadi kita tak boleh labur dengan agresif untuk mendapatkan pulangan tinggi tapi dalam masa sama, risiko nilainya jatuh tetap ada.

“Jadi apa yang kita buat sekarang adalah menumpukan kepada aset-aset yang mempunyai pendapatan berterusan seperti sukuk dan hartanah sebab hartanah kita dapat pulangan dari segi sewa.

"Jadi, kira-kira dua pertiga daripada aset Tabung Haji sekarang dilabur dalam aset seperti itu,” katanya dalam rancangan Biz Malaysia disiarkan RTM petang tadi.

TH kini sentiasa fokus kepada pelaburan selamat dengan memberi pulangan munasabah.
TH kini sentiasa fokus kepada pelaburan selamat dengan memberi pulangan munasabah.

Beliau berkata, dalam masa sama TH tetap melabur dalam saham kerana ia memberi pulangan dalam bentuk dividen, namun masih ada potensi untuk mendapatkan keuntungan modal.

“Jadi kita cuba seimbangkan pendapatan yang lebih tetap dengan pendapatan yang ada potensi untuk naik nilainya. Dengan gabungan ini kita dapat tunjukkan prestasi yang baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas pencapaian baik TH yang mencatatkan untung bersih RM500 juta bagi suku ketiga tahun ini, Nik Mohd Hasyudeen menyenaraikan dua faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan itu.

“Yang pertamanya kami bermula dengan asas yang kukuh, dengan sempurnanya penyusunan semula TH. Dengan sempurnanya pengalihan aset kepada urus harta jemaah yang merupakan SPV (Syarikat Tujuan Khas) dimiliki Kementerian Kewangan maka kewangan kita menjadi kukuh.

“Kedua, kita melabur dengan lebih berhemah. Dua perkara ini menghasilkan pencapaian baik itu,” katanya.

 TH mencatatkan untung bersih RM500 juta bagi suku ketiga tahun ini.
TH mencatatkan untung bersih RM500 juta bagi suku ketiga tahun ini.

Sementara itu, beliau berpendapat keyakinan masyarakat kini semakin meningkat bahkan beliau menjangkakan kira-kira 600,000 akaun baharu didaftarkan pada tahun hadapan.

“Kita sentiasa mengkaji apa kita nak capai tetapi matlamat akhirnya kita mahu Tabung Haji menjadi sebuah institusi Islam yang dihormati di atas pencapaian dan tadbir urus.

“Ini satu perkara penting dan pencapaian ini bukan hanya dalam satu dimensi dari segi bayaran hibah atau pengurusan haji tapi di setiap peringkat, sebab itu sekarang kita dah mula keluarkan ‘report card’ dan Insya-ALLAH tahun depan, kita akan kongsi lebih banyak dengan pendeposit tentang perkembangan Tabung Haji,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!