Suu Kyi tak peduli isu Rohingya
THE HAGUE - Gambia semalam mengecam sikap ‘berdiam diri’ Aung San Suu Kyi terhadap kekejaman ke atas etnik Islam Rohingya.
Negara Afrika yang mempunyai majoriti penduduk Muslim itu mendakwa Myanmar melakukan genosid terhadap kumpulan minoriti tersebut menerusi kes yang dikemukakan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Rabu lalu.
Para peguam turut menuduh ikon demokrasi itu tidak menghiraukan tuduhan tentera melakukan pembunuhan beramai-ramai, rogol dan pengusiran paksa.
Penerima Hadiah Nobel Keamanan itu yang kini berdepan kecam masyarakat antarabangsa bagaimanapun bertindak mempertahankan tentera dan menyifatkan kes itu ‘tidak lengkap dan salah’.
Penasihat Negara Myanmar itu juga tidak merujuk etnik yang ditindas itu sebagai ‘Rohingya’ dan hanya menggunakan perkataan itu ketika bercakap tentang Tentera Pembebasan Rohingya Arakan (ARSA).
Beberapa pengkritik mendakwa keengganan beliau itu adalah sebahagian daripada percubaan Myanmar untuk mengurangkan hak dan identiti etnik Rohingya.
Menerusi ucapan penutupnya di ICJ, Suu Kyi berkata, kes genosid kononnya boleh melemahkan usaha perdamaian, namun kenyataan itu diselar pasukan undang-undang mewakili Gambia.
“Sikap membisu lebih jelas daripada kata-kata anda. Apa yang menarik, Myanmar juga tidak pernah menafikan dakwaan itu,” kata Paul Reichler.
Wanita itu juga menegaskan betapa pentingnya untuk mengelakkan tercetusnya semula konflik bersenjata pada 2016-2017.
“Saya berdoa agar keputusan dibuat dengan bijaksana dan visi keadilan akan membantu kita untuk mewujudkan perpaduan daripada kepelbagaian,” katanya di hadapan hakim.
Difahamkan, keputusan kes itu mungkin akan mengambil masa selama beberapa tahun. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!