Honda Asia Dream Racing with SHOWA tekad takluk Asia musim depan
PASUKAN Honda Asia Dream Racing with SHOWA terus mengorak langkah dalam misi untuk menakluk Asia musim depan.
Meskipun masih awal untuk menjangkakan apa yang akan berlaku pada saingan musim depan, namun pengurusan pasukan tersebut sudah meletakkan impian tinggi terhadap pasukan yang akan tampil dengan wajah baharu itu.
Impian untuk menakluk Asia sudah berada dalam perancangan mereka dan ia bukan perkara mustahil untuk dicapai jika mengambil kira prestasi Honda Asia Dream Racing with SHOWA pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini.
Perjalanan mereka pada kempen musim 2019 boleh dianggap mencabar kerana hanya memiliki seorang pelumba, Md Zaqhwan Zaidi untuk menggalas cabaran mereka.
Namun, pasukan tersebut tetap mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan apabila Zaqhwan berjaya menduduki tempat ketiga keseluruhan dalam kelas ASB1000cc meskipun terpaksa berjuang keseorangan.
Sebagai langkah untuk memenuhi misi menjadi pasukan gergasi di rantau Asia, pasukan tersebut telah memperkenalkan barisan pelumba baharu yang akan membawa cabaran mereka di ARRC musim depan.
Lebih menarik, mereka bakal menggunakan jentera baharu, Honda CBR1000RR-R untuk mengharungi saingan musim 2020 nanti yang turut dilancar dalam satu majlis penuh bersejarah di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
Malah, pasukan tersebut masih memberi kepercayaan kepada Zaqhwan untuk menjadi tonggak pasukan dan pelumba asal Selangor itu bakal bergandingan dengan Gerry Salim dari Indonesia yang pernah bergelar juara keseluruhan ARRC kelas AP250cc pada musim 2018.
Pemilihan Gerry untuk bergandingan dengan Zaqhwan dilihat sebagai kombinasi mantap kerana dua pelumba ini memiliki reputasi tersendiri dalam karier masing-masing.
Maka, tidak hairan kenapa pengurusan pasukan tersebut mempertaruhkan dua pelumba ini untuk membawa cabaran mereka di ARRC musim depan.
Bekas pelumba yang pernah mencipta nama di pentas MotoGP, Makoto Tamada juga terus diberi kepercayaan untuk menjadi pengurus pasukan.
Dengan menggunakan jentera Honda CBR1000 RR-R, mereka bakal menjadi pasukan yang akan menjadi perhatian di pentas Asia pada musim depan.
“Matlamat utama kami adalah untuk menjadi kembali menjadi antara pasukan terbaik di rantau ini. Kami juga mempunyai beberapa perancangan bagi memastikan pasukan ini lebih berdaya saing pada musim 2020 nanti.
“Saya juga yakin, dengan kehadiran Gerry Salim dalam pasukan, ia akan memperkuatkan lagi kempen kami pada musim baharu nanti,” jelas Tamada ketika ditemui selepas majlis memperkenalkan pasukan dan jentera baharu Honda di Sepang hari ini.
Menurutnya, Honda Asia Dream Racing with SHOWA akan terus bekerja keras dalam misi untuk menjadi yang terbaik di Asia dan juga di pentas dunia.
Turut hadir pada majlis bersejarah itu hari ini adalah Pengarah Eksekutif Asian Honda Moto Co Ltd, Atsushi Ogata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!