Glasier kecil di Papua bakal lenyap
JAKARTA - Kajian terbaharu mendapati glasier kecil di Indonesia didakwa mencair dengan cepat dan dijangka lenyap dalam tempoh sedekad.
"Ramalan itu dibuat berdasarkan ketinggian glasier di wilayah Papua tersebut yang agak rendah," kata Lonnie Thompson yang merupakan salah seorang penulis laporan penyelidikan diterbitkan menerusi Proceedings of the National Academy of Sciences pada awal minggu lalu.
Kajian sebelum ini meramalkan glasier Papua tersebut akan merosot kira-kira 85 peratus sejak beberapa dekad lalu.
Bagaimanapun, laporan terbaharu menunjukkan glasier yang pada asalnya berukuran kira-kira 20 kilometer (km) persegi telah menyusut kepada kurang separuh daripada 1 km persegi.
Selain itu, terdapat juga peningkatan lebih lima kali ganda kadar penyusutan ais sejak beberapa tahun lalu.
"Situasi ketika ini amat membimbangkan kerana tiada lagi proses pembentukan ais. Glasier itu berada dalam bahaya dan boleh lenyap dalam tempoh 10 tahun atau kurang daripada itu," ujarnya.
Fenomena itu diburukkan lagi dengan fenomena el-Nino yang mengakibatkan suhu menjadi lebih panas selain mengurangkan taburan hujan.
Musim panas lalu, Iceland dikejutkan dengan kehilangan glasier pertama, Okjokull akibat fenomena perubahan iklim dan ia mencetuskan amaran terhadap kira-kira 400 glasier lain di pulau subartik.
Pasukan penyelidik di Switzerland turut memberi amaran pelepasan gas rumah hijau yang tidak terkawal akan menyaksikan lebih 90 peratus glasier di Alps bakal lenyap pada akhir abad ini. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!