Gusti Lengan Dunia: Safuan berjuang demi lencana di dada
SAFUAN Asif bukan sahaja berdepan sehingga lima lawan bahkan bertarung dengan demam selesema yang menimpanya sejak tiba di Rumia, Poland sebelum berjaya muncul naib juara kategori Senior 57 Kilogram Kanan Kejohanan Gusti Lengan Dunia.
Calang-calang atlet mungkin menyerah lebih awal tetapi anak jati Klang, Selangor ini tidak ingin hanya keluar Dewan Sukan Mosir, Rumia dengan tangan kosong sebaliknya tetap tabah dan keazaman tinggi untuk menaiki podium.
Hasilnya, sebutir pingat gangsa daripada kategori Senior 57 kg kiri turut menjadi milik Safuan, 22, pencapaian terbaik dalam penampilan keempatnya pada Kejohanan Dunia yang sebelum ini dianjurkan Persekutuan Gusti Dunia (WAF).
“Satu perak dan satu gangsa pastinya pencapaian yang sangat memuaskan dalam Kejohanan Dunia anjuran Persekutuan Gusti Lengan Antarabangsa (IFA) ini.
“Sampai balik ke tanah air pun saya masih selesema. Agak terjejas aksi saya sejak separuh akhir dan mungkin antara faktor saya kalah dalam pusingan akhir kepada penggusti lengan dari Ukraine,” katanya.
Turut menyertai kepulangan Safuan dengan penerbangan dari Amsterdam, Belanda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, Rabu lalu ialah juara dunia Senior 70 Kg Kanan, Joffey Jolly dan pemenang gangsa kategori kiri.
Penggusti lengan perempuan, Abigail Kee, 15, yang berasal dari Sarawak turut membanggakan Malaysia dengan meraih dua perak dalam acara Remaja 70 Kg Ke Atas Kiri dan Kanan.
“Saya tidak pernah menduga dapat menaiki podium terutama bagi kategori tangan kiri itu,” katanya yang mengakui perbezaan cuaca sejuk di negara Eropah Timur itu memberikan kesan kepada tahap kesihatannya.
“Saya juga hanya kalah dengan penggusti lengan Ukraine dalam final tangan kanan itu kerana kelebihan pengalamannya. Dia juga merupakan juara bertahan (kejohanan WAF).
“Kelainan dan kejayaan kali ini berpunca daripada persiapan rapi saya sejak awal tahun lagi yang dirangka MyArms (Persekutuan Gusti Lengan Malaysia) yang diketuai Presiden, Mohd. Zil Fadli Abd. Halim,” katanya.
Kata Safuan, perlawanan paling sengit baginya ialah ketika menentang atlet Amerika Syarikat dalam laluan sebelum tiba ke pusingan akhir.
“Saya gunakan teknik hook dalam pusingan akhir itu dan hanya apabila menentang penggusti lengan Jepun, saya nekad untuk bertukar kepada teknik lain iaitu top roll.
“Saya kerapkan mengasak kerana lawan lebih mahir dengan hook. Alhamdulillah, saya berjaya dengan teknik ini dalam pertarungan separuh akhir itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!