Lupakan sakit dilibas di Manila
MEMANG perit untuk melupakan kesakitan dilibas dek Thailand pada temasya Sukan SEA 2019 di Fillipina sehingga tiada satupun kilauan emas yang mampu dibawa pulang skuad sepak takraw negara.
Bisa libasan serta servis yang meluru bagaikan bisa pari yang menyengat dan menusuk ke jantung hati peminat di tanah air. Namun, tidak begitu terasa bagi pegawai, jurulatih dan pemain-pemain negara terutama apabila diminta komen oleh pihak media seolah-olah ia bagaikan suatu keadaan ‘alah bisa tegal biasa’.
Ada sesuatu yang harus kita pelajari di Fillipina selain kehebatan servis kuda tekong Thailand. Pemain ‘kuda tua’ atau ‘otai’ ternyata masih berbisa.
‘Otai’ seperti killer Thailand, Pornchai Kaoksew yang berusia 38 tahun, Anuwat Chaicana, 37, serta feeder, Pattarapong Yupadee, 35, langsung tidak sepadan usia, malah mereka bagaikan ‘ular yang menyusur akar tidak hilang bisanya’.
Begitu juga dengan killer ‘otai’ Indonesia, Uba Husni, 37, yang masih ringan melompat tinggi dan melibas tajam sehingga hampir-hampir memalukan pemain-pemain negara yang jauh lebih muda. Malah, Uba Husni perlu diberi tabik hormat kerana menang emas acara beregu ketika bergandingan dengan Hendra Pago, 30.
Bukan niat untuk membanding-bandingkan atau merendah-rendahkan barisan pemain negara. Apa yang penting adalah keikhlasan untuk menerima hakikat bahawa kita memang hebat di kampung tetapi belum begitu hebat bila keluar ke bandar.
Apapun episod duka dan kepiluan (walaupun cuba disembunyikan) serta kesedihan akibat luka dek libasan di Fillipina perlu dilupakan kerana ada misi mengubat luka pada Trofi Juara-Juara STL dari 22 hingga 28 Disember ini.
‘Sang Juara’ Liga STL 2019, Perak Bison dapat habuan menghirup udara segar di Pulau Dewata, Bali. Mereka berazam ke pentas final dan meraih kejuaraan berganda musim ini.
ATM Guardians pula dikatakan tidak bernafsu menggunakan pemain import. Namun, sejauh mana dua pendekarnya yang baru pulang dari Fillipina -Afifuddin dan Hairul Hazizi mendapat ‘jurus baharu’ untuk dijadikan senjata sulit pada Trofi Juara-Juara STL nanti.
Johor Tigris pasti menjanjikan ngauman yang lebih menggerunkan di kandang sendiri manakala Kelantan Warriors dengan pahlawannya, Aidil Aiman juga sempat berguru di Fillipina. Cuma sejauh mana ‘jurus baharu’ yang dipelajarinya turut sebati menjadi ilmu dan amalan nanti.
Penang Black Panthers yang terlepas kejuaraan liga STL tahun ini mungkin sudah dapat melupakan kemelut dan kontroversi ketika aksi liga dan inilah peluang menebus kekecewaan musim ini.
Regu-regu luar negara seperti Indonesia, Singapura Fillipina serta China yang diundang diharap dapat menghantar regu terkuat mereka dan bukan ibarat makanan dalam tin dan berjenama ‘cap ayam’.
Akhir sekali, selamat bertarung kepada semua pasukan, sesungguhnya STL satu revolusi dan wadah tingkatkan prestasi jangan dibuai mimpi indah di siang hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!