Survival umat Islam
MINGGU depan kita akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019. Persidangan itu diadakan tepat pada masanya disebabkan pelbagai kemelut yang sedang membelenggu dunia Islam.
Kesuraman dunia Islam yang terbelenggu dengan pelaporan serong media Barat masih belum berjaya dirungkaikan.
Akibatnya, Islam terpalit dengan perkara-perkara negatif yang tidak selari dengan ajaran Islam yang sebenar.
Disebabkan itulah, dunia Islam sering dipandang serong dan dilabelkan sebagai pengganas, ekstremis dan radikal, lantas mencipta fenomena Islamofobia global. Hampir berdekad lamanya, dunia Islam terutama umat Islam ditindas dan dizalimi tanpa mendapat perhatian yang sewajarnya sama ada daripada dunia antarabangsa mahupun dunia Islam sendiri.
Kelemahan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kerap memperlihatkan bagaimana pertubuhan itu yang dikuasai oleh dunia Arab tidak lagi mampu dipertanggungjawabkan untuk membela nasib umat Islam.
Perpecahan dan ketidaktentuan rantau di negara-negara Arab dilihat antara punca yang menyumbang kepada kelemahan itu. Kalau dilihat, OIC memang sudah lama ‘bisu’ sebagai jaguh dan suara kolektif dunia Islam seperti yang sering dicanangkannya kepada dunia.
Daripada pencerobohan dan penindasan rejim Zionis Israel ke atas Palestin, pembantaian umat Islam Uighur di Xinjiang oleh kerajaan Komunis China serta penghapusan etnik Muslim Rohingya oleh rejim Junta Myanmar di Arakan, semuanya masih gagal ditangani oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) apatah lagi OIC.
Sehingga hari ini, tiada tindakan diambil kepada negara-negara itu yang terus menerus membelakangi undang-undang dan ketetapan antarabangsa serta melanggar prinsip kemanusiaan.
Justeru, besar harapan kita untuk melihat penamatan kepada perkara itu mampu dimulakan menerusi Persidangan Kuala Lumpur kali ini. Keperluan untuk mengisi ruang vakum dalam kepimpinan dunia Islam dlihat antara perkara yang perlu digerakkan menerusi persidangan tersebut.
Pada masa yang sama, persidangan itu harus memikirkan strategi dan pendekatan baharu dalam memposisikan Islam yang sering disalah tafsir. Untuk permulaan, idea kepada penubuhan saluran televisyen berbahasa Inggeris bagi melawan Islamofobia global dan kekeliruan terhadap Islam seperti yang dicadangkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung PBB di New York baru-baru ini mesti segera dilaksanakan.
Barangkali juga proses penentukuran (calibration) dunia Islam yang terlalu Arab-centric harus dibincangkan juga pada persidangan berkenaan.
Dengan ketidak tentuan politik dunia Arab pasca Arab Spring, selain hilangnya tokoh-tokoh Islam yang berani, lantang dan konsisten dalam memperjuangkan nasib umat Islam dari rantau itu, maka sudah tiba masanya untuk mengangkat pemimpin Islam bukan Arab untuk memimpin dunia Islam.Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa pemimpin negara-negara ini iaitu Malaysia, Indonesia, Turki dan Pakistan barangkali boleh diketengahkan. Kepimpinan mereka ialah antara yang terbaik dalam kalangan pemimpin negara Islam disebabkan keberanian, kebolehan dan kemampuan mereka yang terbukti pada peringkat antarabangsa.
Mungkin kombinasi Dr Mahathir-Erdogan paling sesuai bagi tujuan tersebut. Kedua-dua tokoh itu paling berani dan konsisten mengkritik dunia antarabangsa dalam isu berkaitan umat Islam. Mereka sangat dihormati dan popular dalam kalangan negara Islam.
Amat besar harapan semua untuk melihat Sidang Kemuncak Kuala Lumpur mampu untuk memangkin usaha bagi menggembleng segala sumber yang dimiliki oleh semua negara yang hadir dan menghasilkan satu resolusi yang proaktif serta mapan demi kelangsungan dan survival umat Islam sejagat.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!