Lihat bunyi dan dengar warna
SECARA prinsipnya, kita hanya boleh mendengar bunyi dan melihat warna, namun bukan sebaliknya.
Adakah individu yang berupaya melihat bunyi dan mendengar warna begitu istimewa sehingga mempunyai keupayaan sebegitu rupa? Jawapannya mungkin ya atau tidak.
Kemungkinan jawapan ya kerana kuasa dan keupayaan ALLAH SWT untuk kurniakan keistimewaan kepada hamba-Nya adalah melangkaui keupayaan kita berfikir. Jawapannya tidak kerana mereka dikategorikan sebagai tidak normal kerana bercanggah dengan kebiasaan fitrah manusia.
Pun begitu, setiap jawapan ada hikmah dan ujian yang tersendiri bagi setiap individu.
Sebetulnya, pernyataan itu saya peroleh menerusi perbualan dengan seorang penagih dadah beberapa tahun yang lalu. Sepanjang perbualan tersebut, saya bertanya kepada beliau: Apa kelebihan anda menagih? dan jawapan beliau: Susah nak jawab encik kerana perlu cuba dahulu baru tahu.
Saya tersenyum dan bertanya lagi: Cuba sampaikan dengan ayat mudah, bagaimana nikmatnya menagih?
Beliau terus membalas: Jika encik nak tahu, sewaktu saya khayal menagih, saya berasa cukup istimewa kerana berupaya melihat bunyi dan mendengar warna.
Sambungnya: Sebab itulah kami selalu menari-nari dan menjerit-jerit kerana boleh mendengar pelbagai jenis bunyi menerusi kepelbagaian warna dan melihat pelbagai corak menerusi kepelbagaian bunyi.
Jawapan beliau menyebabkan saya terdiam dan berasa sedih serta terharu kerana teruknya kerosakan minda kesan daripada penagihan tersebut.
Hakikatnya, apabila minda rosak, bukan senang untuk dipulihkan. Berkaitan hal itu, teringat saya pada suatu hari sewaktu solat Asar di surau Jabatan Psikiatri di salah sebuah hospital.
Secara tiba-tiba datang seorang pesakit mental untuk melaungkan azan. Sedap sungguh suaranya, namun dengan tiba-tiba beliau melaungkan azan 'solat itu lebih baik daripada tidur' sedangkan lafaz tersebut hanya dilaungkan sewaktu azan Subuh.
Saya dan sahabat serta jemaah yang lain mendiamkan diri. Usai solat Asar, saya bertanya kepada beliau: Kenapa saudara lafaz azan sebagaimana azan Subuh? Beliau dengan cepat menjawab: Nampaknya encik tak cerdik lagi. Saya lafaz sedemikian rupa kerana ramai kawan saya sedang tidur sewaktu Asar, tidak salahkan?Bagi menahan daripada tergelak, saya hanya membalas 'oh begitu rupanya' sambil berkata-kata dalam hati 'kasihan sungguh kepadanya kerana mindanya sudah celaru dan tidak rasional lagi.'
Penyakit mental bukannya datang secara tiba-tiba. Ia terjadi melalui proses yang agak lama.
Salah satu punca penyakit mental ialah sifat obses dalam diri yang sudah tidak terkawal lagi. Secara umumnya, obses itu boleh didefinisikan sebagai suatu keadaan di mana seseorang itu tidak dapat mengelak untuk memikirkan sesuatu perkara yang merisaukannya hingga boleh menjadi bimbang dan murung.
Antara jenis-jenis obses ialah sentiasa berfikir untuk menjadi sempurna, mahu dikasihi dan disayangi, sangat benci kepada kekotoran, takut berlaku kecelakaan dan kerap memikirkan perkara negatif dalam mindanya.
Adalah jelas, corak kehidupan hari ini boleh mencetuskan fenomena obses kepada setiap individu. Adakalanya ada yang begitu obses dengan kerjaya mereka sehingga lupa untuk mengejar dunia secara sederhana. Terdapat juga yang begitu obses dengan cinta sehingga sanggup mencabut nyawa kerana terlerainya kasih. Malah, ada juga yang obses dengan pembinaan keluarga yang sempurna hingga tidak boleh terima salah laku yang ahli keluarga. Obses itu semakin melarat kerana akar kehidupan kita bertunjangkan nafsu duniawi.
Kita lupa tentang maksud dunia itu sendiri iaitu pencarian akan ditinggalkan semata-mata.
Hakikatnya, hanya amalan yang ikhlas dan sikap bersyukur serta reda bagi setiap kurniaan ALLAH SWT yang boleh dibawa ke alam akhirat nanti.
Pun begitu tidak semua akan peroleh petunjuk ALLAH SWT tanpa berusaha dengan tawaduk untuk mendapatkannya.
Namun, sifat keegoan dan rasa hebat membaluti jiwa sehingga menghalang kita mencari jalan pulang. Berhati-hatilah dengan permainan dunia kerana kita boleh ‘lihat bunyi dan dengar warna’ pada bila-bila masa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!