17 wanita warga Thailand diselamatkan
KUANTAN - Seramai 17 wanita warga asing dipercayai mangsa pemerdagangan diselamatkan polis di sebuah pusat hiburan di bandar ini, semalam.
Dalam serbuan malam semalam, sepasukan polis yang menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan mendapati kesemua mangsa warga asing terbabit berusia dalam lingkungan 21 hingga 36 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Ibu Pejabat Polis (IPK) Pahang, Senior Asisten Komisioner Datuk Othman Nanyan berkata, hasil pemeriksaan polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang juga penjaga di premis berkenaan.
“Kesemua mangsa yang diselamatkan itu merupakan warga Thailand yang memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.
“Pihak kita juga akan menjalankan siasatan lanjut kemungkinan pas lawatan 17 wanita ini dimanipulasi oleh pemilik premis untuk menjadikan mereka sebagai pelayan di pusat hiburan itu memandangkan ia sentiasa diperbaharui,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di IPK Pahang, hari ini.
Othman memberitahu, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan 36 pekerja dan pelanggan yang berada pusat hiburan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sentiasa mengambil tindakan berterusan dalam mengawal premis hiburan yang berlesen di negeri ini.
Jelasnya,jika terdapat pelanggaran syarat terhadap operasi pusat hiburan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan terhadap pemilik premis.
“Polis akan mengambil tindakan dalam isu kecelaruan dalam sosial ini dan kita yakin siasatan sebenarnya tidak menganggu perniagaan mereka.
“Kalau ada lesen dan ikut peraturan, ia tidak ada masalah, yang tidak patuh itu kita akan ambil tindakan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!