Rantau Panjang meriah 'bersemutar'
RANTAU PANJANG - Pemakaian semutar atau ikat kepala cukup popular dalam kalangan masyarakat Kelantan satu ketika dahulu, namun arus kemodenan dunia tanpa sempadan hari ini membuatkan semutar semakin luput ditelan zaman.
Bagaimanapun, penganjuran pemakaian semutar berlangsung di Stesen Teksi Rantau Panjang oleh Kelab Belia Bestari Rantau Panjang itu dilihat sebagai inisiatif menyuburkan kembali warisan bangsa Melayu itu.
Aktivis Kebudayaan, Mohamad Salleh berkata, pemakaian semutar menggunakan kain batik lepas perlu terus disuburkan kerana ia mempunyai contoh dan jati yang mampu mendidik masyarakat ke arah lebih baik.
"Walaupun tujuan asal pemakaian semutar ini untuk menutup kepala dari bahang panas matahari, mengelap peluh atau membuat alas untuk solat, pada masa sama, ia menyemai identiti dan moral yang baik iaitu tidak meninggi diri walaupun si pemakainya mempunyai kedudukan.
"Sebab itulah ia tidak dipakai dalam keadaan tinggi dan sekadar untuk melindungi kepala sahaja," katanya.
Menurutnya, semutar dikenakan mempunyai ciri unik yang boleh dilihat melalui ikatan atau putaran yang mempunyai maksud tersendiri serta melambangkan peribadi atau bidang pekerjaan seseorang.
Sebagai contoh katanya, jika seseorang ingin ke kebun, teknik ikatan yang akan digunakan ialah dengan menutup kepala dan telinga bertujuan mengelak gigitan serangga.
Begitu juga sekiranya seseorang mahu turun ke laut atau berperanan sebagai imam, cara putaran dan ikatan adalah berbeza.
Katanya, bukan sekadar dipakai semata-mata, semutar juga mempunyai fungsi yang lebih penting apabila turut dijadikan senjata oleh orang zaman dahulu yang menjadikan silat sebagai pertahanan diri.
Mohamad berkata, justeru itu, pemakaian semutar perlu terus diperluaskan dalam kalangan generasi muda termasuklah destar lain seperti tanjak yang perlu terus dipertahankan.
“Kita turut jadikan acara ini sebagai manifestasi tanda sokongan terhadap Tahun Melawat Kelantan 2020 dalam usaha mengangkat lagi budaya Melayu ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Penganjuran majlis itu diserikan lagi dengan aktiviti demonstrasi pemakaian semutar, persembahan silat, paluan gendang, pakaian busana Melayu dan kayuhan basikal lama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!