Suami isteri diuji anak hidap hydracephalus

Mohd Faidhisham bersama Nur Arissa Sumayyah yang bakal menjalani pembedahan kali keempat dalam tempoh terdekat.
Mohd Faidhisham bersama Nur Arissa Sumayyah yang bakal menjalani pembedahan kali keempat dalam tempoh terdekat.
A
A
A

JERANTUT - Puas kami menangis tapi lama-kelamaan kami reda dan bersedia menghadapi segala risiko, kata Mohd Faidhisham Samsudin, 30, yang reda menerima ujian apabila anak sulungnya, Nur Arissa Sumayyah, 2, menghidap lebihan cecair di kepala atau hydracephalus.

Mohd Faidhisham berkata, Nur Arissa Sumayyah disahkan menghidap hydrocephalus ketika 27 minggu berada dalam kandungan ibunya.

"Mula-mula siapa tak sedih, dah puas kami menangis tapi lama kelamaan reda.

"Siapa tak mahu anak yang sihat tapi ini dugaan yang ALLAH SWT yang bagi kepada kami untuk hadapi dengan reda dan sabar berdepan segala ujian," katanya yang bertugas sebagai juruteknik komputer di sebuah sekolah menengah di Jerantut.

Dia berkata, sejak itu rutin hariannya bersama isteri, Syahidah Suhaimi, 28 mula berubah dan perlu berulang alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian,Kelantan dari Jerantut demi kesihatan anaknya.

"Buat masa ini, anak saya sudah tiga kali menjalani pembedahan 'shunt' untuk mengalirkan lebihan cecair di kepala sejak lahir dengan pembedahan terakhir pada 1 November lalu.

"Kali ini anak saya perlu menjalani pembedahan sekali lagi dalam tempoh terdekat di HUSM dan kosnya masih belum diketahui lagi.

"Kini anak saya berada di hospital sebelum menjalani pembedahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Faidhisham turut mengakui terpaksa menanggung perbelanjaan yang tinggi untuk keperluan anaknya terutama kos ulang alik ke hospital memandangkan isterinya sudah berhenti kerja untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak mereka.

"Selepas ini, anak saya juga memerlukan susu khas untuk menaikkan berat badannya selain lampin pakai buang dan rawatan susulannya," katanya.

Menaruh harapan tinggi agar Nur Arissa kembali sihat, Faidhisham mengharapkan doa orang ramai untuk anaknya sembuh daripada penyakit tersebut.

Bagi mereka yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam,06055024823907 atas nama Mohd Faidhisham Samsuddin atau menghubungi di talian 010-8300560.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!