'Saya mohon maaf, tak sempat selesaikan isu pemilikan tanah'- Khir Toyo

Khir Toyo memohon maaf tidak sempat menyelesaikan isu pemilikan tanah Kampung Melayu Puncak Kundang ketika mentadbir Selangor sebelum ini. (Dr Mohamad Khir Toyo)
Khir Toyo memohon maaf tidak sempat menyelesaikan isu pemilikan tanah Kampung Melayu Puncak Kundang ketika mentadbir Selangor sebelum ini. (Dr Mohamad Khir Toyo)
A
A
A

KUANG - Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo memohon maaf kepada penduduk Kampung Melayu Puncak Kundang kerana tidak sempat menyelesaikan isu pemilikan tanah ketika mentadbir Selangor sebelum ini.

Menerusi status dimuat naik di Facebook miliknya, Mohamad Khir mendakwa beliau kesuntukan masa sebelum ini selain menghadapi masalah birokrasi pentadbiran tanah.

Mohamad Khir sedih melihat nasib penduduk kampung berkenaan selain Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa memusnahkan harapan rakyat yang mengundi mereka.

“Rasa sedih melihat peristiwa ini. Apa pun saya mohon maaf kerana tak sempat selesaikan soal pemilikan tanah mereka kerana kesuntukan masa dan masalah birokrasi pentadbiran tanah setempat.

“Tak sepatutnya kerajaan harapan rakyat ini memusnahkan harapan rakyat yang telah mengundi mereka,” katanya dalam status yang dimuat naik hari ini.

Mohamad Khir berkata, memberi pemilikan tanah kepada pemaju tanpa mengambil kira faktor peneroka awal tidak sepatutnya dilakukan.

“Kerajaan negeri mesti berani memanggil semua yang terlibat bersemuka dan dapatkan penyelesaian ‘situasi menang-menang’ supaya tidak ada pihak menang dapat semua manakala yang kalah hancur masa depan mereka.

“Pengalaman selesaikan 95 peratus masalah setinggan di Selangor banyak menyedarkan saya betapa sakit dan luluhnya perasaan rakyat bila mana harapan mereka musnah dan keadaan ini akan memberi imej sangat buruk pada kerajaan,” tulisnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mendakwa semua tanah setinggan telah diberi milik sebelum pentadbiran beliau lagi.

Menurutnya, ada tanah diberi milik kemudian baru diduduki oleh setinggan dan ada juga tanah diteroka sebelum diberi milik kepada pemaju.

“Saya tidak persoalkan tindakan pemimpin sebelum (pentadbiran saya) membuat keputusan untuk memberi pemilikan tanah kepada pemaju walaupun telah ada penerokanya. Mereka mempunyai alasan sendiri.

“Saya telah membuat panduan jelas pada tahun 2000 tidak ada lagi situasi tanah yang telah diteroka diberi pada pihak lain tanpa perbincangan dengan peneroka sedia ada.

“Peristiwa kampung puncak ini sepatutnya tidak berlaku, lebih-lebih lagi oleh kerajaan yang merasakan mereka ini malaikat suci serta penyelamat rakyat,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan penduduk Kampung Melayu Puncak Kundang buntu selepas pelbagai usaha dilakukan untuk mempertahankan rumah yang diduduki sejak 16 tahun lalu tidak mendapat perhatian.

Wakil penduduk, Siti Nor Aminah Md Nafi, 38, berkata daripada 70 rumah di kampung berkenaan, 15 sudah dirobohkan 10 Disember lalu.

Penduduk merayu pemaju menangguhkan perobohan rumah mereka untuk memberi ruang kepada mereka membuat persiapan persekolahan anak-anak bagi sesi 2020.

Katanya, penduduk berharap diberikan peluang berunding berhubung isu perobohan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!