Wanita rugi RM90,000 ditipu sindiket pinjaman
KANGAR - Seorang usahawan wanita mengalami kerugian lebih RM90,000 selepas ditipu sindiket pinjaman wang peribadi.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, wanita berusia lingkungan 50 tahun itu pada awalnya berhasrat membuat pinjaman peribadi sebanyak RM30,000.
Katanya, wanita berkenaan mengakui mengenali suspek melalui Facebook pada penghujung tahun lau dan berjanji akan memberi pinjaman yang dikehendaki.
Menurut Wari, mangsa bagaimanapun diminta memasukkan wang kepada suspek sebagai upah dan caj perkhidmatan.
"Mangsa secara tidak sedar sudah menyerahkan wang miliknya sebanyak RM90,000 kepada suspek melalui beberapa transaksi itu sejak hampir setahun.
"Dia hanya menyedari ditipu pada hujung bulan lalu selepas hampir setahun melakukan transaksi sehingga kerugian wang namun tidak menerima bayaran pinjaman yang dimohon," katanya ketika dihubungi hari ini.
Wari berkata, menyedari dirinya ditipu mangsa membuat laporan polis.
"Mangsa juga mengakui lupa jumlah transaksi yang dilakukan kerana kerap memindahkan wang kepada sindiket setiap kali dihubungi melalui telefon," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!