Sokongan menyusut bukan sebab PH abai kebajikan rakyat
ALOR SETAR - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menyangkal dakwaan golongan berpendapatan rendah cenderung menyokong UMNO dan Pas disebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengabaikan kebajikan rakyat selain gagal menunaikan keperluan golongan itu.
Menurut beliau, sebaliknya maklumat berkaitan kejayaan kerajaan tidak sampai kepada golongan sasaran menyebabkan sokongan menyusut.
Mahfuz turut menolak tanggapan isu pertelagahan dalaman parti politik bawah PH sebagai penyebab utama sokongan tidak memihak kepada kerajaan.
“Saya tak melihat ia faktor utama, mungkin ia menyebabkan pihak yang prihatin dengan kesepakatan parti kecewa dengan pertelagahan dalaman parti politik kerajaan. Rakyat harus melihat perkara berfaedah yang dilakukan kerajaan, itu lebih penting berbanding mempedulikan pertelingkahan antara pemimpin politik, itu biar mereka selesaikan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Back To School Parlimen Pokok Sena kepada 250 pelajar hari ini.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan rakyat sebaliknya maklumat berhubung program dan manfaat untuk rakyat tidak diuar-uarkan.
“Tugas kerajaan adalah melaksanakan apa yang dirancang untuk rakyat, mana yang boleh didahulukan akan kita laksanakan segera. Sejak ambil alih, kerajaan wujudkan pelbagai program membantu rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah namun sambutan masih rendah kerana banyak maklumat tidak sampai,” katanya.
Menurutnya, sehubungan itu, penyaluran maklumat akan diperkemaskan lagi supaya disebarkan kepada semua golongan.
ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat berpendapatan tinggi, sederhana sokong PH
Berdasarkan kaji selidik Emir Research, mendapati PH masih mendapat sokongan rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan tinggi dan sederhana manakala golongan berpendapatan rendah cenderung menyokong UMNO dan Pas.
Kajian itu juga menunjukkan 48 peratus penduduk di kawasan bandar memilih PH manakala 32 peratus penduduk luar bandar memilih UMNO dan Pas.
PH kekal popular di kalangan orang Cina (64 peratus) dan India (53 peratus) berbanding orang Melayu (33 peratus). Pakatan UMNO dan Pas pula menarik lebih banyak sokongan Melayu (53 peratus) berbanding Cina (12 peratus) dan India (24 peratus).
Dalam pada itu, Mahfuz menyambut baik dapatan kajian itu yang disifatkan dapat membantu kerajaan melihat kelemahan dan kekurangan dalam proses membina negara ini.
“Mulai tahun depan, kita galakkan lebih ramai pihak terlibat beroleh faedah daripada kemudahan dan perlindungan sosial yang ditawarkan kerajaan. Penyaluran maklumat akan diperhebatkan agar akar umbi dan golongan berpendapatan rendah menerima maklumat tepat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!