Amin Adam Lazarte Nazari sah milik KFA

Amin Adam Lazarte Nazari - Foto Kedah FA
Amin Adam Lazarte Nazari - Foto Kedah FA
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) hari ini mengumumkan pemain skuad kebangsaan Filipina, Amin Adam Lazarte Nazari sebagai pemain import kuota Asia bagi pasukan Liga Super Kedah.

Naib Presiden 1 KFA merangkap Ketua Unit Liga Super Kedah, Anas Hafiz Mustaffa berkata, pemain kelahiran Sweden yang berusia 26 tahun itu turut mempunyai kerakyatan Filipina.

Katanya, beliau sebelum ini turut beraksi bersama kelab Ratchaburi Mitr Phol FC (Thailand) akan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas pada jam 2.30 petang Ahad ini.

"Amin yang beraksi di bahagian tengah akan memakai jersi bernombor 93," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh KFA hari ini.

Menurutnya, pihak pengurusan juga telah mengikat seorang lagi penjaga gol iaitu pemain skuad remaja kebangsaan, Mohd Azri Abdul Ghani, 20, yang berasal dari Kelantan dan beraksi bersama pasukan Bawah 19 tahun Kebangsaan serta kelab Felda United FC.

"Saya juga mahu memaklumkan mengenai status terkini Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew, pemain yang telah diumumkan sebelum ini antara pemain tempatan baharu KFA.

"Pasukan Liga Super Kedah terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat Muhammad Jafri selepas dia disahkan tidak cukup cergas untuk memenuhi syarat utama kontrak profesional pemain bola sepak iaitu melepasi ujian kecergasan bersama pasukan yang bakal diwakili," katanya.

Anas Hafiz berkata, ia bukan suatu keputusan mudah bagi KFA namun keutamaan haruslah diberikan kepada persiapan sebuah pasukan yang mantap.

Artikel Berkaitan:

"Tambahan dalam menongkah cabaran musim depan dengan bermulanya aksi sebenar seawal 21 Januari 2020 nanti iaitu di pusingan kelayakan Liga Juara-Juara AFC," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!