Sebarang tindakan masih dalam peringkat kajian: Mat Nadzari
SHAH ALAM - UMNO Selangor kini dalam fasa meneliti keadaan kewangan termasuk dalam konteks pemulihan jangka masa panjang sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, semua perancangan berkenaan dimaklumkan kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dari semasa ke semasa.
Menurutnya, perbezaan pendapat dalam kalangan ahli jawatankuasa adalah biasa sesuai dengan prinsip demokrasi.
"Bagaimanapun saya percaya kepada transparansi dan kita sedaya upaya menjaga kebajikan seluruh ahli UMNO di negeri ini. Pada masa ini kita hanya dalam proses kajian sahaja," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, semua perkara yang dibincangkan tidak akan dipinggirkan untuk kebaikan bersama.
"Sampai ketika kita buat keputusan secara konsensus," katanya ketika menjawab mengenai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang dilapor membantah cadangan pimpinan tertinggi parti itu di peringkat negeri yang berhasrat menjual bangunan UMNO Selangor.
Menurut Jamal, walaupun UMNO Selangor berdepan masalah kewangan berikutan akaun parti itu yang dibekukan sebelum ini namun langkah bagi penjualan bangunan tersebut tidak wajar.
Beliau juga dilapor bertegas untuk membuat permohonan kaveat terhadap bangunan UMNO Selangor.
Menurutnya, permohonan itu akan dibuat di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling pada Selasa ini jam 10 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!