PKS harus buat kajian pasaran, sedia dana sebelum berniaga: Daim

Tun Daim Zainuddin ketika sesi dialog bertajuk Cabaran Ekonomi di Malaysia Baru bersama usahawan-usahawan negeri Pulau Pinang hari ini. - Foto Bernama
Tun Daim Zainuddin ketika sesi dialog bertajuk Cabaran Ekonomi di Malaysia Baru bersama usahawan-usahawan negeri Pulau Pinang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Tun Daim Zainuddin hari ini menasihatkan semua peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya membuat kajian pasaran serta menyediakan aliran tunai yang mencukupi sebelum memulakan perniagaan.

Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan itu berkata, kebergantungan usahawan Melayu terhadap bantuan kerajaan masih belum berubah walaupun sistem kerajaan lama sudah bertukar.

"Kebanyakan peniaga PKS khususnya usahawan Melayu berasa terlalu berpuas hati dengan tahap pencapaian mereka. Sejarah menunjukkan ini adalah masalah orang Melayu yang jarang berlaku kepada bangsa lain di negara ini.

"Mereka (usahawan Melayu) sebenarnya tidak berasa selesa tetapi sudah terlalu berpuas hati kerana mereka beranggapan perniagaan hanya sekadar satu hobi. Menjalankan perniagaan sebenarnya untuk meraih keuntungan dan apabila, kita mendapat untung, sudah pasti kita perlu berkembang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Dialog Bersama Usahawan-usahawan Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau kini dalam jelajah ke seluruh negara untuk berkongsi pengalaman dan memberi pandangan mengenai perniagaan kepada para usahawan. Selepas perjumpaan dengan usahawan-usahawan di Kedah, Perak dan Pulau Pinang, jelajah ini akan diteruskan ke Selangor.

Daim yang melakukan lawatan kerja seharinya ke Pulau Pinang, turut melawat Penang Farmer's Field School (FFS) di Institut Pertanian Bumbong Lima, Kepala Batas dan mengadakan perjumpaan bersama pelatih di situ.

Dalam pada itu, Daim yang juga bekas Menteri Kewangan turut menasihatkan para usahawan agar sentiasa bersedia untuk mengembangkan perniagaan mereka sekiranya mempunyai peluang.

"Berniaga ini bukannya selalu untung, kadang-kadang akan rugi. Inilah sebabnya kita datang nak berjumpa dengan mereka untuk mendengar masalah, membantu mereka dan memberi tunjuk ajar macam mana nak mencapai kejayaan.

Artikel Berkaitan:

"PKS merupakan penyumbang utama pekerjaan dalam negara dan mereka harus diberi bantuan yang sepatutnya. Kita perlu pandu mereka dan tunjukkan jalan. Bila mereka (PKS) untung, negara juga akan untung," katanya.

Dalam laporan September lepas, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui rakan lama dan sekutunya, Daim merupakan seorang individu yang sangat berpengaruh dan peranannya sebagai penasihat serta perunding kerajaan adalah disebabkan kebijaksanaannya dalam bidang perniagaan dan politik. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!