Sarat aksi penuh drama
PERLAWANAN persahabatan bola sepak buat pertama kali menemukan Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM) dan Unit Berkarya Orang Mini Indonesia di Stadium Mini Majlis Sukan Negara di Kampung Baru, hari ini menyaksikan pertembungan sarat aksi penuh drama yang menghiburkan penonton.
Penonton, Amirul Zamel Daud, 29, yang hadir menyaksikan perlawanan bersama isteri dan anaknya berkata, beliau kagum melihat kemahiran dan kehebatan dipamerkan para pemain kedua-dua pasukan pada perlawanan itu.
"Saya benar-benar terkejut dengan apa yang saya lihat kerana ini adalah kali pertama saya menonton orang-orang kerdil bermain bola sepak.
"Saya tidak pernah terfikir mereka boleh menjadi begitu aktif, dengan cara mereka menggelecek bola ke arah gawang gol dan berlari pantas mengejar bola, ia sangat menakjubkan.
"Perlawanan ini sebenarnya lebih menarik berbanding menonton perlawanan skuad kebangsaan kita," katanya.
Sementara bagi Maizatul Jamilah Hassan, 57, dia dan suaminya serta dua cucu datang ke stadium untuk bersiar-siar menyangkakan ketika itu sedang berlangsung perlawanan bola sepak melibatkan golongan kanak-kanak.
Bagaimanapun dia yang terkejut melihat perlawanan itu tidak menyangka golongan orang kerdil mampu bermain bola sepak sukan disifatkan sebagai permainan lasak.
“Daripada perlawanan yang kita lihat hari ini, saya rasa ramai orang termasuk diri saya memandang rendah keupayaan golongan ini.
"Saya fikir ramai menyukai serta mahu melihat lebih banyak lagi penyertaan dan sumbangan orang kerdil dalam acara sukan kebangsaan di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden PKOKM, Jasmi Shafie berkata, beliau ada mengadakan perbincangan dengan Ketua Unit Berkarya Orang Mini Indonesia, Usnan Batu Bara, yang membawa pemain Indonesia ke Malaysia untuk menganjurkan lebih banyak acara di peringkat ASEAN dalam masa terdekat melalui sukan yang berbeza
"Kita boleh memperluas lebih banyak permainan sukan dengan mewujudkan kejohanan pada peringkat ASEAN untuk orang-orang kerdil, dengan harapan lebih ramai individu kerdil boleh menjadi sebahagian daripada atlet dan diiktiraf sebagai atlet profesional.
"Sekiranya kita boleh mewujudkannya di peringkat ASEAN, kita boleh mengadakan kejohanan bola sepak dalam kalangan negara-negara yang di mana terdapat kejohanan untuk bahagian ini," katanya.
Pada perlawanan selama 60 minit itu menyaksikan Malaysia menewaskan Indonesia 4-1. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!