Wanita dakwa jadi kambing hitam agensi pelancongan tak wujud

Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof
Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A
KUANTAN - Seorang wanita mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam untuk mengutip wang bagi rombongan ke China oleh sebuah agensi pelancongan yang tidak wujud, sehingga melibatkan kerugian RM56,360.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 37 tahun itu mendakwa yang dia kini menjadi sasaran 29 ahli rombongan itu yang mendesak supaya wang mereka dikembalikan.

Menurutnya, ejen agensi pelancongan itu tidak dapat dihubungi oleh wanita itu sejak 9 Disember, selepas ejen itu menghantar pesanan dalam kumpulan WhatsApp menyatakan lawatan yang sepatutnya berlepas ke China pada Jumaat (13 Disember) terpaksa dibatalkan.

"Wanita itu mendakwa telah mencari beberapa kenalan sekitar tahun 2018 untuk menyertai pakej pelancongan ke China yang bernilai antara RM1,650 hingga RM1,990 setiap seorang dengan dirinya bertindak sebagai ketua rombongan.

"Semua ahli rombongan mula membuat bayaran kepada wanita itu secara ansuran bermula 2018 hingga awal Disember lepas sebelum dia memindahkan wang itu ke dalam akaun bank ejen berkenaan setiap bulan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Artikel Berkaitan:


Mohd Wazir berkata, wanita itu mendakwa kali terakhir dia menerima pesanan ejen itu, suspek mengakui lawatan itu tidak dapat diteruskan kerana kegagalan dirinya (wanita itu) menguruskan wang dengan baik dan berjanji akan memulangkan wang itu secara berperingkat selama tiga bulan atau meneruskan lawatan pada tarikh lain.

Bagaimanapun, suspek dikatakan masih belum membuat bayaran menyebabkan wanita itu mula berasa curiga dan bimbang dirinya menjadi sasaran kemarahan ahli rombongan.

Sehubungan itu, wanita itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran dekat sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!