Kes cabul: Polis akan panggil beberapa individu bantu siasatan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil beberapa lagi individu dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan perlakuan cabul membabitkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas penyelidik PKR, Muhammed Yusoff Rawther.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, keterangan berkenaan juga bertujuan melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Menurutnya, kesemua nama yang dipanggil setakat ini terdapat di dalam keterangan bersumpah Muhammed Yusoff sebelum ini.

"Bagaimanapun siapa sahaja yang kita rasa dapat membantu siasatan, kita akan panggil selain mengumpulkan keterangan yang releven dengan kes ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung kemungkinan Anwar akan dipanggil lagi, beliau memaklumkan tiada keperluan kerana Presiden PKR itu sudah selesai memberi keterangannya sebelum ini.

Khamis lalu, polis di Bukit Aman dilaporkan merekod keterangan Anwar selama sejam 30 minit bagi membantu siasatan dakwaan kes berkenaan.

Sebelum ini, Muhammed Yusoff dipanggil dua kali ke Bukit Aman bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman yang mengendalikan siasatan kes itu turut memanggil ahli keluarga Muhammed Yusoff.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis-rakam-keterangan-Anwar

>

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!